Tahan sakit setengah jam, jari telunjuk tersangkut cincin

Anggota bomba memotong cincin yang tersangkut di jari telunjuk mangsa.
Anggota bomba memotong cincin yang tersangkut di jari telunjuk mangsa.
A
A
A

KLANG - Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam selepas 'lanyard ring' yang dijadikan cincin tersangkut di jari telunjuknya dalam kejadian di Kampung Delek, di sini pada Rabu.

Pelbagai ikhtiar dilakukan keluarga kanak-kanak berkenaan bagi mengeluarkan cincin tersebut daripada jari mangsa yang berusia 7 tahun itu namun tidak berjaya.

Melihat jari kian membengkak serta kebiruan membuatkan salah seorang ahli keluarga bertindak menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Pengarah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.01 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, peralatan khas digunakan bagi memotong cincin dipakai mangsa.

"Anggota bomba tiba jam 11.16 malam dan berjaya memotong cincin berkenaan dalam masa 30 minit.

"Operasi tamat jam 11.50 malam sebelum anggota pulang ke balai," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang mahu dikenali Siti memaklumkan, anak sulung dari tiga beradik itu hanya mengalami kecederaan kecil selepas cincin tersebut berjaya dipotong.

"Dia ada menangis sedikit ketika sakit namun berjaya ditenangkan.

"Lepas cincin berjaya dipotong, biru di jarinya mula hilang, ada kesan luka kecil disebabkan besi tercucuk kulit namun tidak teruk dan telah disapu ubat," katanya.