Kekuatan mental kunci Penang kejutkan KDA

Penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan. - Foto MFL
Penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan. - Foto MFL
A
A
A

[DIKEMASKINI] KEJAYAAN Penang FC menyingkirkan pasukan pilihan, Kedah Darul Aman FC untuk mara ke pusingan 16 Piala FA 2023 adalah hasil persiapan awal dan kekuatan mental, bukannya faktor tuah.

Ketua Jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt berkata, kejayaan itu juga hasil taktikal dan persediaan sehingga masa tambahan 120 minit dilakukan oleh Harimau Kumbang termasuk latihan penentuan sepakan penalti.

Menurutnya, kejayaan mengejutkan Sang Kenari 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada masa sebenar dan tambahan adalah kejayaan manis berikutan mereka baharu sahaja tewas di peringkat liga super kepada Kelantan FC beberapa hari lalu.

"Berjumpa dengan Kedah adalah salah satu pasukan yang sukar dalam saingan ini tapi kekuatan mental pemain berjaya hadapinya terutamanya selepas kita pulang dari Kelantan.

"Mungkin sepakan penalti adalah tuah tapi secara keseluruhannya kami sudah bersedia dengan situasi ini (sehingga masa tambahan dan sepakan penalti)," katanya selepas tamat perlawanan pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Jelas Yee Fatt, mereka tidak boleh bermain mengikut rentas KDA FC kerana bakal memberikan lebih tekanan kepada Penang FC sebagai pasukan pelawat.

"Kami tak boleh bermain ikut rentak Kedah. Hanya bermain terbuka dan bunuh (karakter) mereka. Jadi ini adalah perancangan permainan.

"Kami bermain di tempat lawan dengan pasukan sukar dan (akhirnya pulang ke laman sendiri dengan kemenangan. Kami gembira," ujar beliau lagi.

Pada perlawanan tersebut, penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan kerana menyelamatkan beberapa percubaan wajib gol tuan rumah termasuk menyelamatakn sepakan penalti Lee Tuck dan Bojan Ciger.

Selepas ini Penang FC akan berdepan Kuching City FC pada 15 April depan pasa peringkat 16 pusingan Piala FA 2023.