Transformasi KOM

Zaki (gambar kanan) calon yang disebut-sebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Manshahar (gambar kiri).
Zaki (gambar kanan) calon yang disebut-sebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Manshahar (gambar kiri).
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) akan melakukan perubahan dalam struktur kejurulatihan bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan tersebut di pentas antarabangsa.

Menerusi perubahan tersebut, ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil yang kontraknya tamat Disember lalu bakal mengemudi satu projek baharu.

Calon yang disebut-sebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Manshahar ialah bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang negara, Zaki Sadri.

Menurut sumber, pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam tempoh dua minggu ini.

“KOM akan mengadakan satu majlis untuk memaklumkan perkara ini secara rasmi. Kita rancang ia diadakan sebelum Ramadan.

“Ada beberapa perubahan dilakukan termasuk status Manshahar. KOM masih perlukan jurulatih berkenaan kerana pengalamannya penting bagi membantu pembangunan atlet,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan Manshahar belum menerima apa-apa surat makluman berhubung kontraknya yang berakhir Disember 2022, namun bersedia menabur bakti sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

Berbaki 57 hari menjelang Sukan SEA Kemboja, KOM giat mempersiapkan para atlet menerusi beberapa program khas di dalam dan luar negara.

Temasya berkenaan akan bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Sumber tersebut memberitahu, KOM bertekad untuk memberikan yang terbaik kepada atlet sebagai persediaan bagi mengharungi temasya yang akan berlangsung selama 12 hari itu.

“Mereka juga akan menyertai beberapa kejohanan sama ada di dalam atau luar negara termasuk di Australia.

“Segala perincian dan perancangan KOM akan diumumkan pada majlis tersebut kelak,” ujarnya.