Sungai Kurau mampu jadi tarikan ekopelancongan

Sungai Kurau atau dikenali penduduk sebagai Sungai Gedung berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan daerah Kerian.
Sungai Kurau atau dikenali penduduk sebagai Sungai Gedung berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan daerah Kerian.
A
A
A

SUNGAI Kurau sepanjang 58 kilometer bermula dari Kuala Kurau hingga ke Kampung Padang Lalang, Bagan Serai, Perak berpotensi menjadi destinasi ekopelancongan buat pencinta alam semula jadi mahupun kaki pancing.

Penduduk Kampung Sungai Kepah dan Teluk Medan juga melihat kawasan berhampiran jambatan keluli Sungai Kurau atau dikenali sebagai Sungai Gedung itu perlu dinaik taraf.

Lokasinya di tepi jalan utama Taiping - Bagan Serai itu dianggap strategik dalam menjalankan aktiviti seperti menyelusur sungai dan pasar terapung, sekali gus mampu menjana ekonomi masyarakat.

Dalam menjayakan hasrat itu, penduduk mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta dengan menaik taraf sungai yang merupakan nadi utama nelayan darat berhampiran dan ia menjadi tempat rekreasi atau riadah pertama di kawasan berkenaan tanpa perlu bergerak jauh ke Taiping atau Parit Buntar.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Noor Ainon Mohamed Yusof menyelami hasrat penduduk Kampung Sungai Kepar dan Teluk Medan dalam mewujudkan produk pelancongan baharu di kawasan itu.

Jambatan keluli Sungai Kurau atau Sungai Gedung dipercayai dibina pada tahun 1890-an.
Jambatan keluli Sungai Kurau atau Sungai Gedung dipercayai dibina pada tahun 1890-an.

BAGAN SERAI - Destinasi pelancongan masa kini tidak hanya fokus kepada keindahan alam semula jadi tetapi merangkumi pelbagai aspek antaranya warisan, kebudayaan mahupun produk makanan tempatan.

Ketua Kampung Sungai Kepar, Samsuddin Awang berkata, ekopelancongan di kawasan itu bukan sahaja memberi manfaat dan ilmu kepada pengunjung tetapi memberi kelebihan dari sudut ekonomi penduduk tempatan termasuk nelayan.

“Lebih menarik, jambatan keluli yang terdapat di sungai ini mempunyai sejarah tersendiri apabila menjadi laluan tentera Jepun semasa perang dunia kedua pada 1945 selepas dibina pada tahun 1890-an.

“Berdasarkan cerita penduduk, jambatan asal telah diletupkan oleh tentera British dalam usaha menyekat pergerakan tentera Jepun hinggalah jambatan keluli ini dibina semula dengan menggunakan kepakaran dari England. Malah kerangka besi juga diimport dari England,” ujarnya.

Samsuddin
Samsuddin

Menurutnya, pihak berkaitan boleh membina sebuah bazar atau gerai yang membolehkan penduduk berniaga dengan lebih selesa.

“Ini kerana kawasan ini merupakan tapak pasar sehari melibatkan lebih 400 peniaga pada setiap Khamis dan Ahad. Kita mahu limpahan ekonomi ini berterusan seiring dengan kerancakan aktiviti pelancongan berasaskan sungai.

“Kita juga membayangkan kawasan ini menjadi lokasi santai penduduk pada waktu malam dengan kehadiran kendera saji yang menyediakan pelbagai menu makanan,” katanya.

Penduduk, Mohd Amin Abdul Rani, 43, berkata, pelbagai aktiviti boleh dilakukan pengunjung dalam dan luar negeri seperti menyelusur sungai selama 40 minit hingga satu jam bagi melihat aktiviti penduduk di pesisir sungai.

“Sepanjang sungai ini, pengunjung boleh menikmati keindahan alam, melakukan aktiviti memancing dan berpeluang melawat kolam ternakan penduduk.

“Kira-kira 100 tahun lalu, sungai ini menjadi laluan utama penduduk dari kawasan pedalaman untuk berurus niaga di Sungai Gedung ini. Oleh kerana itu, kawasan ini dinamakan Sungai Gedung kerana mempunyai gedung-gedung penyimpanan dan kilang padi kerana ketika itu menggunakan sistem barter,” jelasnya.

Mohd Amin
Mohd Amin

Tambah Mohd Amin, sekiranya kawasan ini berjaya dibangunkan, dia berhasrat untuk menjadi pemandu bot pelancong sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Kita ada memohon sebuah bot untuk membawa pelancong. Sebagai penduduk kampung, saya rasa rugi sekiranya tidak mengambil peluang untuk menambah pendapatan selain merancakkan industri pelancongan tempatan.

“Penduduk juga membantu untuk mengekalkan kebersihan sungai. Memandangkan sungai ini merupakan habitat buaya, saya akan mendapatkan nasihat daripada jabatan berkaitan untuk belajar aspek keselamatan dan perkara-perkara yang perlu sebagai persediaan untuk menjadi pemandu bot,” katanya.

Jambatan keluli yang merentangi Sungai Kurau mempunyai sejarahnya tersendiri dan dibina semula dengan menggunakan kepakaran dari England.
Jambatan keluli yang merentangi Sungai Kurau mempunyai sejarahnya tersendiri dan dibina semula dengan menggunakan kepakaran dari England.

Terima reaksi positif pelbagai pihak

Sementara itu, Pengerusi Persatuan kebudayaan dan Kesenian Pelancongan Daerah Kerian, Shahariman Abdul Manaf berkata, kertas kerja membangunkan kawasan Sungai Gedung terutama menaik taraf jambatan keluli berkenaan telah dibentangkan tiga tahun lalu.

Menurutnya, rancangan itu mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Kerian (MDK).

Shahariman
Shahariman

“Gerakan awal telah dimulakan dengan mengadakan pelancaran program pelancongan domestik Mukim Gunung Semanggol di Kampung Padang Lalang, Mac tahun lalu sebagai memperkenalkan produk pelancongan di Sungai Kurau ini.

“Pejabat daerah ada menyalurkan peruntukan untuk membina pelantar bagi kegunaan bot pelancong. JPS juga memaklumkan akan mendalamkan Sungai Kurau dan tambak untuk memperluaskan dataran untuk penduduk beriadah,” katanya.

Menurut Shahariman, dia memerlukan kerjasama pihak swasta atau syarikat korporat yang mahu menyumbang menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mencantikkan jambatan keluli itu.