Apa dah jadi dengan UMNO? - Hishammuddin

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoal apa sebenarnya yang sedang berlaku terhadap parti itu.

Ini kerana beliau mendakwa, UMNO turut mengheret Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam isu usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertanding pada pemilihan parti kali ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong sebelum itu menyokong kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung keputusan Saifuddin Nasution yang memberi pengecuali terhadap UMNO daripada mematuhi peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Khairy mendakwa, tindakan Saifuddin Nasution itu menunjukkan keputusan UMNO tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sebagai tidak sah.

"Benar dan tepat KJ. Apa dah jadi dengan UMNO ni? Sekarang diheret pula Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).

"Baru tahu sebab kita dipecat dan digantung - just in case Menteri tak beri pengecualian!" katanya.

Beliau berkata demikian di ruang komen hantaran video Khairy yang mengulas mengenai isu berkenaan.

Hishammuddin kini digantung keahlian UMNO selama enam tahun manakala Khairy pula dipecat daripada parti itu pada Januari lalu.

Polemik berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan bermula selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 setelah parti itu meluluskan usul tambahan yang didakwa melanggar peraturan RoS.

Perkara itu menimbulkan pertikaian menyebabkan dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS.

Bagaimanapun pada Selasa, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntuk menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntuk pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.