Tabung #BantuanBencana ditutup, sumbangan cecah RM300,000

Nik Justin
Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare yang dilancarkan sejak 8 Februari lalu berjaya meraih sumbangan hampir RM300,000.

Angka sumbangan tabung kecemasan berjumlah secara keseluruhan RM295,513.23 itu dikongsikan oleh Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.

Ujar Nik Justin, sumbangan tersebut menunjukkan masyarakat Malaysia amat prihatin dengan nasib mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

“Buat masa ini kita telah salurkan sebanyak RM150,000 dalam dua fasa. Fasa terakhir nanti baki sumbangan ini akan disalurkan sepenuhnya untuk bantuan pemulihan di Turkiye dan Syria bersama rakan kerjasama kita, SyriaCare.

“Walaupun tabung telah ditutup namun wang yang berjaya dikumpulkan itu akan digunakan sepenuhnya sehingga selesai apa yang diusahakan oleh misi bantuan di sana.

“Saya berharap bahawa tabung atau misi-misi bantuan bencana ini memang akan sentiasa diaktifkan dan dikerahkan tidak kira baik Malaysia atau luar negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada 8 Februari, Sinar Karangkraf melancarkan tabung untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM250,000.

Dalam pada itu, Nik Justin turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyalurkan sumbangan dan berharap saling membantu mangsa-mangsa yang berada dalam kesusahan.

“Kita di Sinar Harian akan terus memantau dan membantu sebaik mungkin walaupun sumbangan tabung tersebut telah ditutup,” ujarnya.