Seoul bina roda Ferris kedua terbesar di dunia

Ia akan menjadi roda Ferris kedua terbesar selepas Ain Dubai. Foto Yonhap News
Ia akan menjadi roda Ferris kedua terbesar selepas Ain Dubai. Foto Yonhap News
A
A
A

SEOUL - Roda Ferris kedua terbesar di dunia akan dibina di sepanjang Sungai Han di daerah barat Seoul bermula Jun 2025, menurut kerajaan metropolitan Seoul pada Rabu.

Seoul Ring, berdiameter 180 meter akan dibina di taman tema Sangam-dong serta menawarkan pemandangan menarik ibu kota, lapor Yonhap.

Ia akan menjadi roda Ferris kedua terbesar selepas Ain Dubai, roda pemerhatian tertinggi dan terbesar di dunia.

Struktur futuristik itu akan mempunyai 36 kabin, setiap satu mampu menampung 25 penumpang.

Tarikan pelancong itu juga boleh memuatkan sekitar 1,747 orang sejam dan sehingga 11,792 orang setiap hari.

Projek bernilai 400 bilion won (AS$304 juta) itu akan dicadangkan di bawah skim bina-pindah-kendali (BTO).

Pembinaan mercu tanda itu dijangka bermula pada Jun 2025, dengan siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.

Seoul Ring dijangka menarik kedatangan 3.5 juta pelancong setiap tahun, menurut pegawai kerajaan bandar Hong Sun-ki.

Kerajaan tempatan berhasrat untuk mempromosikan Seoul Ring yang menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui, sebagai mercu tanda dasar mesra alam. - Bernama