Segerakan pelantikan pengerusi, ALP PTPK

Nordin
Nordin
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Malaysia (GILKSM) mendesak kerajaan segera melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah (ALP) Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan latihan di institut latihan swasta.

Pengerusinya, Nordin Abdul Malek berkata, banyak aduan dan keluhan daripada penyedia latihan swasta mengenai kesukaran mendapat kelulusan urusan yang berkaitan dengan PTPK disebabkan ketiadaan pengerusi dan ALP PTPK yang baharu selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan Disember lalu.

Jelas beliau, masalah itu bukan sahaja menjejaskan operasi PTPK dan institut latihan kemahiran swasta tetapi juga proses pembiayaan pelatih kemahiran berkaitan turut terjejas kerana banyak urusan berkaitan memerlukan kelulusan ALP PTPK.

"Difahamkan, masalah ini mula timbul sejak pembubaran Parlimen pada November tahun lalu bagi memberi ruang kepada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang mengakibatkan pengerusi dan ALP dikosongkan.

"Ini menyebabkan pelbagai permohonan dan kerja berkaitan yang memerlukan kelulusan ALP PTPK tertangguh hingga kini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nordin berkata, kekosongan jawatan pengerusi dan ALP itu turut menyebabkan tiada kelulusan program baharu, pentauliahan semula penyedia latihan dan pelbagai hal berkaitan PTPK tidak dapat diputuskan segera.

Jelasnya, kelewatan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan isu Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Beliau berkata, keadaan itu sekaligus memperlihatkan seolah-olah kerajaan terlepas pandang kesan besar yang bakal berlaku jika isu pelantikan ini tidak disegerakan.