Restoran Deli Thai perkenal 12 set Menu Rahmah

Mohd Fadli menunjukkan nasi kerabu ikan yang ditawarkan demgan harga RM5 termasuk minuman.
Mohd Fadli menunjukkan nasi kerabu ikan yang ditawarkan demgan harga RM5 termasuk minuman.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha makanan, Restoran Deli Thai di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini menyediakan 12 set Menu Rahmah sebagai pilihan buat pelanggannya.

Pemilik kedai, Mohd Fadli Md Noor, 35, berkata, inisiatif Menu Rahmah selari dengan konsep kedainya yang menawarkan harga rendah buat pelanggan yang kebanyakan dalam kalangan mahasiswa.

Menurutnya, antara set Menu Rahmah tersebut ialah nasi kerabu ikan, nasi penyet, nasi ayam dan nasi bujang ayam yang disertakan air teh o dan sirap ais.

Ujar Mohd Fadli, pihaknya mengambil pendekatan menawarkan harga makanan berpatutan kerana tidak mahu membebankan pelanggan.

"Sejak 10 tahun lalu kami tawarkan harga rendah cuma sekarang ada sedikit naik harga. Jika dulu RM4 sekarang RM5.

"Kami tawarkan harga murah kerana persekitaran Seksyen 7 di sini dekat dengan mahasiswa. Kebanyakan pelanggan juga 90 peratus ialah pelajar," katanya pada 'kick off' Program Menu Rahmah peringkat Selangor baru-baru ini.

Program disempurnakan oleh Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni diiringi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey.

Sebahagian set Menu Rahmah Restoran Deli Thai, Shah Alam.
Sebahagian set Menu Rahmah Restoran Deli Thai, Shah Alam.

Mohd Fadli berkata, walaupun margin untung sedikit namun tawaran harga rendah berjaya menarik lebih ramai pelanggan makan di kedainya.

"Jika ikutkan harga RM5 itu adalah kos sebenar tapi sebagai peniaga kita kena bijak susun bajet bagi menanggung kerugian.

"Sekarang pelajar UiTM (Universiti Teknologi Mara) tengah cuti jadi kedai agak lengang tapi jika hari biasa pelanggan akan ramai pada jam 2 petang, begitu juga pada waktu malam," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuhairi ketika ditemui pada program tersebut memaklumkan Selangor antara negeri tertinggi menyediakan Menu Rahmah dengan penyertaan lebih 300 pengusaha makanan sejak diperkenalkan kerajaan awal Februari lalu.

Beliau berkata, sebanyak 200 premis telah mendaftar di Direktori Menu Rahmah dan 100 restoran sedang dalam proses pendaftaran.