Klinsmann idam Piala Asia bersama Korea

Sidang media pertama Klinsmann sejurus tiba di Seoul pada Rabu untuk melatih Korea Selatan. Foto AFP
Sidang media pertama Klinsmann sejurus tiba di Seoul pada Rabu untuk melatih Korea Selatan. Foto AFP
A
A
A

SEJURUS menjejakkan kaki di Seoul, ketua jurulatih baharu Korea Selatan, Jurgen Klinsmann memasang impian untuk memenangi Piala Asia 2023 bersama skuad Kimchi itu.

“Saya rasa sasarannya ialah untuk menang Piala Asia. Muncul juara. Itu adalah matlamat kami,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada Rabu.

Pengendali berusia 58 tahun menggantikan Paulo Bento, yang membawa Korea Selatan mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 sebelum kecundang kepada Brazil 1-4.

Bekas pengendali Jerman, Bayern Munich dan Amerika Syarikat (AS) itu optimis sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan pencapaian Korea Selatan di pentas Piala Dunia.

“Anda sudah membuktikan di Qatar dapat menumpaskan negara gergasi, anda kalahkan Portugal di Qatar dan empat tahun sebelum itu menumpaskan Jerman.

“Jadi anda boleh lakukan dengan baik dan inilah matlamat kami,” katanya.

Klinsmann yang menandatangani kontrak tiga tahun setengah dengan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan turut meluahkan rasa bangga dan bertuah mendapat peluang terbaru di negara Asia itu.

“Saya tidak sabar untuk belajar banyak daripada orang di sini, masyarakat di Korea Selatan.

"Saya berharap pasukan ini boleh belajar banyak daripada saya dan kakitangan saya,” katanya.

Ujian pertama Klinsmann ialah aksi persahabatan menentang Colombia pada 24 Mac.

Klinsmann mengambil alih Jerman pada 2004 dan membawa mereka ke tempat ketiga dalam Piala Dunia 2006 di laman sendiri, selepas tewas kepada juara, Itali di separuh akhir.

Kemudian pada 2011 beliau dilantik sebagai ketua jurulatih AS, namun dipecat pada 2016 selepas dua kekalahan kelayakan Piala Dunia.