'Kedudukan UMNO bukan terbaik walaupun dalam kerajaan'

Khaled.
Khaled.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO harus menerima realiti parti tidak berada pada kedudukan yang terbaik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hakikat tersebut perlu diakui dan usaha mengembalikan sokongan terhadap parti perlu dilakukan semua ahli di setiap peringkat.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua ahli UMNO di peringkat akar umbi sehinggalah pucuk pimpinan untuk menggiatkan usaha dan menggembleng tenaga bagi mengembalikan kepercayaan serta memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO.

"Tempoh 'soul-searching' dan muhasabah untuk UMNO telah berlalu dan sudah tiba masanya kita menggerakkan segala perancangan dalam menguatkan semula parti bagi memastikan UMNO relevan dalam landskap politik negara.

"Ini terutama dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang sudah tidak lama lagi dan dalam menyediakan parti mengharungi PRU-16," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, semua pihak perlu memberi sokongan terhadap mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa penggal 2023-2026 yang akan berlangsung dalam bulan ini.

"Berilah sokongan padu kepada semua calon yang bertanding. UMNO perlu dilihat utuh daripada segi kesepakatan dan strukturnya serta berupaya menawarkan pemimpin-pemimpin parti yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air.

"Semoga Allah SWT memberikan petunjuk terbaik kepada kita dalam memilih pemimpin yang benar-benar menyumbang bakti dan sama-sama kita doakan agar proses persidangan dan pemilihan ini berjalan dengan lancar dan aman," katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua UMNO cawangan di Johor dan seluruh negara kerana berjaya mengadakan persidangan tahunan UMNO cawangan serta pemilihan jawatankuasa cawangan, wanita, pergerakan pemuda dan puteri.

"Sebagai unit asas dalam struktur parti, cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara menjadi titik permulaan dalam membina pengaruh parti di peringkat akar umbi serta berperanan membetulkan persepsi dan pandangan masyarakat terhadap parti secara keseluruhannya.

"Kepimpinan UMNO cawangan haruslah memainkan peranan yang penting dalam menentukan masa depan parti," ujar bekas Menteri Besar Johor itu.