Kenyataan Abdul Hadi tidak bertanggungjawab - Anthony

Anthony - Foto Bernama
Anthony - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk 'menumbangkan' Kerajaan Perpaduan sebagai tidak bertanggungjawab.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, usaha itu jelas menggambarkan PN tidak menghormati penubuhan Kerajaan Perpaduan yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Sikap ini menunjukkan pimpinan PN tidak ada kerja lain selain setiap hari merancang untuk merompak kerajaan atau merompak kuasa atau mendapatkan kerajaan ini dengan cara pintu belakang.

"Mereka patut menghormati proses yang telah pun dijalankan selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) iaitu pembentukan kerajaan telah pun melalui satu proses yang cukup teliti dan telah diperkenan Agong,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman penerbangan tambahan AirAsia pada tambang tetap sempena Aidilfitri di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Abdul Hadi dilapor mengakui wujud usaha tersebut dan mendakwa gabungan itu berhak berbuat demikian kerana ia dibolehkan dan berlandaskan kepada prinsip demokrasi.

Anthony berkata, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November lepas merupakan barisan kukuh dan sentiasa bekerjasama untuk menjayakan agenda kerajaan.

"Kerajaan Perpaduan mempunyai agenda pembangunan negara yang perlu ditumpu setiap hari bagi memastikan sasaran yang ditetap dapat dicapai," kata Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban. - Bernama