Daikin bantu cungkil pelapis badminton negara

Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin 2023 yang sedang berlangsung di Pusat Badminton Sunsuria-Pioneere di Kota Damansara berjaya menarik 1,500 penyertaan.
Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin 2023 yang sedang berlangsung di Pusat Badminton Sunsuria-Pioneere di Kota Damansara berjaya menarik 1,500 penyertaan.
A
A
A

KEJOHANAN Badminton Antarabangsa Daikin 2023 yang berlangsung bermula Isnin hingga Khamis ini berjaya menarik 1,500 penyertaan dalam kalangan peserta pelbagai lapisan umur.

Pengarah Urusan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Lawrence Song Yew Beng berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu sekali gus memenuhi misi Daikin dalam membantu menyediakan pelapis negara dalam sukan tersebut.

"Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin ialah cara terbaik untuk menyokong masyarakat dan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.

"Kejohanan ini memberi peluang untuk menyumbang kepada pembangunan generasi atlet masa hadapan dan memastikan Malaysia kekal sebagai kuasa besar dalam badminton untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Kejohanan yang berlangsung di Pusat Badminton Sunsuria-Pioneere di Kota Damansara itu akan mempertandingkan kategori perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, beregu perempuan, beregu campuran serta ibu bapa dan anak.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Pioneer Sports Management yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan termasuk Wong Choong Hann, pengarah jurulatih pasukan badminton negara, Chew Choon Eng; Lee Wan Wah; dan Chan Chong Ming.

Dalam pada itu, Pengarah Pioneer Sports Management (M) Sdn Bhd, Chan Chong Ming menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Daikin Malaysia kepada Pioneer Sports Management untuk menganjurkan kejohanan badminton utama ini buat kali keempat.

"Kami percaya Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin bolah membuka peluang mengenal pasti dan mencungkil bakat dari awal.

"Bagi mencapai potensi penuh bakat tempatan untuk bersaing dan cemerlang di pentas global, mereka harus bermula dari usia muda," katanya.