Syamsul pukul Puteri Sarah - Peguam

Puteri Sarah
Puteri Sarah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peguam syarie yang mewakili pelakon, Puteri Sarah memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa bahawa pengarah filem 'Mat Kilau' Syamsul Yusof didakwa memukul isterinya itu pada tahun 2020 lalu.

Ketika prosiding sebutan kes permohonan cerai, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kejadian itu memaksa Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, keluar daripada rumah yang diduduki di Taman Melawati di sini.

Akberdin berkata, Puteri Sarah hanya pulang semula ke rumah itu selepas dipujuk kedua-dua mentuanya.

Bagaimanapun, semasa prosiding pendengaran permohonan cerai di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas, peguam syarie, Roshdan Sujak yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, selaku defendan membantah isu tersebut.

Ia mula timbul apabila Roshdan memberitahu mahkamah ada harapan untuk menyelamatkan rumah tangga pasangan tersebut.

Roshdan: Saya percaya ada sinar dalam perkahwinan itu, anak guam saya masih berusaha untuk memperbaikinya.

Akberdin: Pihak defendan menyatakan ada sinar, sedangkan berdasarkan fakta, jelas tiada kesudahan yang baik di antara mereka malah berpoligami tanpa izin dan sudah lama tidak pulang ke rumah.

Roshdan: Saya ingin betulkan fakta, bukan Syamsul yang tinggalkan rumah, sebaliknya Puteri Sarah.

Akberdin: Saya dimaklumkan Puteri Sarah telah dipukul oleh defendan, maka dia tidak mempunyai pilihan untuk keluar daripada rumah itu sehinggalah dipujuk oleh kedua-dua mentuanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Puteri Sarah berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung perkara berkenaan kerana mengenangkan kasih serta sayangnya terhadap suami.

Terdahulu, Roshdan memohon supaya Puteri Sarah tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu rumah tangga di luar mahkamah, namun hakim menolak permohonan tersebut kerana ia adalah pra-matang.

Hakim Syarie ini turut menetapkan 10 April depan untuk prosiding seterusnya.