Ahli Parlimen terlibat kes rasuah perlu digantung

Ahli-ahli Parlimen perlu ada jati diri yang kuat untuk mengelakkan diri mereka dari terjebak dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Ahli-ahli Parlimen perlu ada jati diri yang kuat untuk mengelakkan diri mereka dari terjebak dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen yang mempunyai kes rasuah perlu digantung tugas sama seperti tindakan yang dilakukan terhadap penjawat awam.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, tindakan terhadap ahli Parlimen perlu adil dan bukan hanya berat sebelah kepada satu pihak sahaja.

“Sekarang ini, mana-mana penjawat awam yang didakwa dalam kes rasuah biasanya perlu digantung tugas sementara menunggu siasatan selesai.

“Jadi ahli-ahli Parlimen juga sepatutnya boleh didakwa di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 dan bukannya ke atas rakyat ‘marhaen’ sahaja.

“Pada pandangan saya, akta sedia ada tidak perlu dipinda tetapi apa yang perlu diberi perhatian ialah mana-mana ahli-ahli Parlimen yang didakwa di mahkamah juga perlu digantung tugas mereka dan tidak boleh memegang jawatan sebagai menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, 10 individu termasuk lima kakitangan agensi penguatkuasaan direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah.

Pada 27 Februari lalu, SPRM membuat pendedahan menggemparkan apabila berpuluh-puluh kakitangan dan pegawai penguat kuasa dikesan menerima suapan duit haram secara bulanan lebih lima tahun lalu.

Kegiatan itu berjaya dikesan susulan risikan dilakukan terhadap tiga agensi penguatkuasaan membabitkan agensi Jabatan Perikanan, Pasukan Gerakan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Tambah Wan Azliana, jika kerajaan serius ingin membendung gejala rasuah, sudah tiba masanya mereka mengubah strategi tersebut.

“Kerajaan perlu memulakan langkah baharu bagi membendung isu ini.

“Tidak adil hanya penjawat awam sahaja digantung kerja tetapi mereka tidak,” katanya.