Kerjasama pintar dalam sektor hospitaliti untuk bekas atlet

Hannah (depan, enam dari kiri) bersama bekas atlet negara selepas majlis menandatangani MoU antara Yakeb, Genting Malaysia Berhad dan Akademi Hospitaliti DHS di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara pada Isnin. - Foto Bernama
Hannah (depan, enam dari kiri) bersama bekas atlet negara selepas majlis menandatangani MoU antara Yakeb, Genting Malaysia Berhad dan Akademi Hospitaliti DHS di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersama Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Akademi Hospitaliti DHS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan platform pekerjaan dalam sektor hospitaliti untuk bekas atlet negara.

Menerusi inisiatif itu, bekas atlet berpeluang mengikuti kursus jangka pendek selama tujuh bulan yang disediakan Akademi Hospitaliti DHS dengan perkembangan pembelajaran mereka dipantau, sebelum diberikan penempatan kerjaya di bawah GENM.

MoU berkenaan ditandatangani Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed; Ketua Pegawai Operasi GENM, Lee Thiam Kit dan Pengasas Pengarah Kumpulan Akademi Hospitaliti DHS, Dr S Sri Kumar, dengan disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Bukit Kiara pada Isnin.

Menurut Noorul Ariffin, inisiatif itu sekali gus memperlihatkan pihak swasta dan korporat kini semakin menghargai pengorbanan serta perjuangan atlet negara, selain berharap ia disambut baik oleh ahli berdaftar di bawah Yakeb.

“Peluang ini terbuka kepada semua bekas atlet sama ada mereka nak bekerja sebagai cef atau di 'front desk' berdasarkan kelayakan mereka dan ia juga terpulang kepada GENM.

“MoU ini dalam masa sama dapat menarik minat lebih banyak syarikat swasta mahupun korporat untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada atlet yang telah bersara sekali gus menjamin pekerjaan kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Dalam pada itu, Hannah berharap inisiatif digerakkan Yakeb itu dapat diperluaskan kepada pelbagai bidang lain.

“Atlet ini mempunyai pelbagai minat, jadi Yakeb perlu proaktif dengan pihak swasta dan korporat untuk bersama mereka dalam memberikan peluang kerjaya kepada bekas atlet kita.

“Kita tidak mahu melihat program berbentuk kebajikan sahaja, tetapi kita nak beri peluang pekerjaan yang saya rasa ia lebih mampan,” katanya.