IPR, Menu Rahmah langkah strategik tangani komponen inflasi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Menu Rahmah merupakan antara langkah strategik kerajaan untuk menangani salah satu komponen inflasi iaitu Makanan Di Luar Rumah, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, inflasi bagi komponen Makanan di Luar Rumah telah menurun daripada 9.6 peratus pada Disember 2022 kepada 9.3 peratus pada Januari 2023.

"Walaupun bagi saya kenaikan itu masih tinggi bagi Januari 2023 iaitu 9.3 peratus, tetapi itu adalah kali pertama harga barang makanan siap yang ditawar kepada pembeli mula menunjukkan penurunan inflasi.

"Yang memacu harga barang dan kadar inflasi untuk lima enam bulan lepas ialah makanan yang dibeli di luar rumah sebab itu kita fokus pada Menu Rahmah dan IPR," katanya pada sidang media sempena penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari 2023, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, langkah kerajaan melaksanakan dua inisiatif berkenaan bertujuan mempengaruhi penawaran harga makanan siap di peringkat pekedai, yang mana apabila terdapat harga makanan pada harga RM5 dan RM2, ia akan mengimbangi permintaan daripada pembeli dan penawaran harga makanan dalam kalangan peniaga.

"Apabila lebih banyak juadah makanan dijual pada harga lebih rendah sama ada melalui Menu Rahmah atau IPR, itu akan mewujudkan persaingan yang akan meredakan kenaikan harga barang makanan siap yang seterusnya membantu kerajaan mengekang inflasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 22,319 individu telah mendaftar untuk menyertai IPR sejak dilancarkan 26 Feb lepas, sekali gus menunjukkan inisiatif itu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Daripada jumlah itu, 52 peratus adalah pendaftaran bagi Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), 29 peratus untuk Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan 19 peratus untuk Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), dengan Selangor, Johor dan Perak mencatat penyertaan tertinggi.

Manakala sebanyak 376 syarikat dan agensi telah berdaftar sebagai off-takers (pembeli) yang bersedia membeli hasil keluaran peserta program IPR.

"Sasaran kita capai 100,000 orang dalam setahun, kalau dalam tempoh seminggu dah capai angka ini, itu satu galakan baik kepada kementerian saya bahawa kita ada peluang untuk betul-betul melaksanakan (inisiatif) ini dengan luas dan berjaya.,” katanya.

Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi akan memberi tumpuan mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh seperti kerajaan negeri dan wakil rakyat di beberapa daerah termiskin di Malaysia untuk menyebar luaskan IPR.

Kerajaan, katanya, menyasarkan peserta IPR berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Menurutnya, kementerian tersebut juga akan melancarkan tapak pertama bagi IPR INTAN seawal minggu pertama April melibatkan 20 peserta di tanah berkeluasan 10 ekar (4 hektar) di Putrajaya.

IPR membabitkan ekosistem tiga pihak iaitu penerima membabitkan miskin tegar dan B40, pembimbing (peniaga setempat yang membeli produk perkhidmatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan dan rakan niaga. - Bernama