Tujuh ADUN Sabah diterima sertai Gagasan Rakyat

Hajiji ketika ditemui pemberita di SICC Kota Kinabalu.
Hajiji ketika ditemui pemberita di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerima penyertaan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) dan tiga bekas ADUN Parti Warisan (Warisan) ke dalam parti itu.

Perkara itu disahkan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor dan beliau mengalu-alukan penyertaan mereka supaya usaha memberi khidmat kepada rakyat di negeri ini dapat diteruskan.

"Memang diterima. Itu hak mereka untuk menentukan pendirian dan masa depan politik mereka.

"Jadi bagi saya, kita mengalu-alukan penyertaan mereka kerana kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu dan juga usaha untuk memajukan memberi khidmat kepada rakyat terutama di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya status ADUN yang menyatakan sokongan terhadap beliau dengan menyertai Gagasan Rakyat dalam satu sidang akhbar pada 21 Februari lalu.

ADUN berkenaan ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung) daripada UMNO-BN manakala tiga lagi bekas ADUN Warisan ialah Mohammad Mohamarin (Banggi) Norazlinah Arif (Kunak) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor).

Seorang lagi ADUN Bebas Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) turut mengambil keputusan sama menyertai Gagasan Rakyat dalam sidang akhbar berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai sokongan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) terhadap beliau, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah enggan mengulas lebih lanjut mengenai.

"Tiada komen," katanya ringkas.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony pada 21 Februari lalu dalam sidang akhbarnya membuat kenyataan bahawa beliau dan kepimpinan parti memberi sokongan semula kepada Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

KDM sebelum ini antara parti yang tidak menyokong kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga mencetuskan kemelut politik pada Januari lalu.