Lebih 30 negara sertai ACC 2023

Abu Samah. Foto Bernama
Abu Samah. Foto Bernama
A
A
A

LEBIH 30 negara hampir pasti menyertai Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2023 (ACC 2023) yang akan diadakan di Velodrom Kebangsaan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan bermula 14 hingga 19 Jun depan.

Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, angka tersebut sangat memberangsangkan kerana hanya 22 negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2018 (ACC 2018) juga diadakan di Velodrom Kebangsaan di Bandar Baru Nilai.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menjelaskan peningkatan angka penyertaan kejohanan kali disebabkan faktor kutipan mata secara merit untuk kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Seperti yang kita maklum trek ialah satu acara Sukan Olimpik yang sangat popular dan sentiasa mendapat perhatian negara-negara besar di seluruh dunia. Sukan ini juga sangat popular di Asia.

“Negara seperti Jepun, China, Korea Selatan, Hong Kong, Iran dan Kazakstan sentiasa mampu untuk menghadirkan pelumba bertaraf dunia bertarung di peringkat Sukan Olimpik. Malaysia tidak terkecuali kerana kita mempunyai Datuk Mohd Azizulhasni (Awang) dan Mohd Shah Firdaus (Sahrom).

“Tarikh kejohanan ini sangat dekat dengan Sukan Olimpik 2024. Jadi sudah semestinya semua pelumba dari benua Asia yang berazam untuk layak secara merit akan menyertai ACC 2023 di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus sudah mengesahkan penyertaan ke ACC 2023 sekali gus menjadikan ia daya penarik kepada negara-negara lain khususnya Jepun, Korea Selatan, Iran, Hong Kong dan China.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) percaya faktor tarikh kejohanan dan jaminan mata kelayakan ditawarkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menjadikan ACC sebuah kejohanan premium sepanjang tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan akan mengetuai Jawatankuasa Pertandingan dan Pemilihan Atlet selepas 16 hari berakhirnya Pemilihan Jawatan Utama PKBM.

Timbalan Presiden, Mazlan Mohd Jail akan mengetuai Jawatankuasa Teknikal, manakala Naib Presiden 1, Datuk Amarjit Singh dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang baru dipilih sebagai Naib Presiden 5 pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Cycling for All.

Naib Presiden 2, Mohd Saiful Abdul Jalil pula mengetuai Jawatankuasa MTB, manakala Norazman Abu Samah dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya dan WCC Korea.

Bekas Presiden Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur (PLBKL), Ahmad Ariff Astaman pula dilantik sebagai Setiausaha Agung PKBM yang baharu manakala Omar Saad pula mengisi jawatan Bendahari.