Ancelotti lebih kecewa daripada marah

Carlo Ancelotti - Foto AFP
Carlo Ancelotti - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti menyuarakan kebimbangan ketumpulan barisan depan gergasi La Liga itu selepas terikat tanpa jaringan ketika berdepan Real Betis di Stadium Benito Villamarín, awal pagi Isnin.

Malah pengendali kelahiran Itali itu, mengakui lebih kecewa berbanding marah selepas penyandang juara itu melakar keputusan seri kelima selepas mengharungi 24 perlawanan liga.

“Saya lebih kecewa daripada marah kerana amat pelik kami tidak menjaringkan gol selepas mencipta deretan peluang dalam perlawanan ini.

“Sejujurnya ini bukan satu perkara biasa pasukan dengan kualiti sebegini tidak menjaringkan lebih daripada satu gol dalam tiga perlawanan terakhir. Ia membuatkan saya terlalu kecewa.

“Ya, para pemain juga kecewa kerana kami mempunyai kualiti menjaringkan gol dan sentiasa melakukannya. Saya fikir jentera serangan merupakan masalah besar sekarang. Kami perlu lebih klinikal dalam setiap percubaan,” kata Ancelotti.

Real Madrid hanya menjaringkan satu gol dalam tiga semua pertandingan sejak membelasah Liverpool 5-2 dalam perlawanan pertama perlawanan Liga Juara-Juara 16 di Anfield pada 22 Februari lalu.

Anak buah Ancelotti juga gagal melakar sebarang kemenangan sejak menewaskan Liverpool, seri 1-1 berdepan Atletico Madrid dalam liga dan tewas 0-1 kepada Barcelona dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol.

Keputusan seri tanpa jaringan itu juga menjejaskan momentum Real untuk mengejar Barcelona yang kini mengumpul 62 mata- sembilan mata di belakang musuh ketat mereka selepas 24 perlawanan.

Ketika ditanya sama ada Real terkeluar daripada perebutan kejuaraan, Ancelotti berkata: “Tidak, tidak. Jurangnya besar. Kami akan bekerja minggu ini, kami mempunyai minggu padat dengan perlawanan.

“Kami perlu terus berjuang sehingga tamat. Terdapat banyak daripada perlawanan yang perlu dimainkan tetapi kami perlu meningkatkan.”