Cheng Hoe yakini kemampuan Faisal

Faisal antara nadi Selangor saingan Liga Malaysia 2023. - Foto Facebook Selangor FC
Faisal antara nadi Selangor saingan Liga Malaysia 2023. - Foto Facebook Selangor FC
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan pemain The Red Giants, Faisal Halim merupakan antara penyumbang kepada pencapaian pasukan biarpun bekas perancang Terengganu FC musim lalu itu masih berdepan kemarau jaringan dalam tiga perlawanan awal musim ini.

Malah tanpa berselindung Cheng Hoe menegaskan pemain Harimau Malaya berusia 25 tahun itu lebih proaktif dalam mencipta peluang dan memberikan bantuan gol kepada para pemain Selangor lain.

"Ya, memang kita semua mengetahui bahawa Faisal Halim bermain cukup baik musim lalu terutamanya dari aspek menjaringkan gol.

"Bersama Selangor, dia juga masih lagi menyesuaikan gaya permainan pasukan cumanya masih belum menemui sentuhan jaringan.

"Biarpun begitu sumbangan Faisal kepada pasukan tetap memberikan impak positif, apabila menghadirkan bantuan gol hingga meletakan pasukan berada dalam kedudukan terbaik.

"Ini satu perkembangan positif dan saya puji komitmen daripada pemain berkualiti seperti Faisal," katanya.

Terdahulu aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, penalti Stefano Brundo meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-74, sebelum jaringan pemain berprofil tinggi Selangor, Brendan Gan pada minit ke-88 mengikat kedudukan 1-1, sekali gus memaksa dua gergasi Liga Malaysia (Liga) tersebut masing-masing berkongsi satu mata.

Pada masa sama bekas pengendali Harimau Malaya dan Kedah itu memuji semangat juang dipamerkan pemain The Reds Giants yang berusaha bangkit setelah ketinggalan satu gol.

Namun pada masa sama Cheng Hoe mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pasukan

"Kesilapan individu merupakan antara perkara khusus perlu diperbaiki pemain selepas tiga perlawanan ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada pasukan Selangor

"Biarpun begitu saya percaya kita mampu teruskan ke perlawanan seterusnya dengan kualiti dimiliki dan semangat berpasukan tinggi dimiliki setiap pemain," katanya.