Kementerian Wilayah perlu RM10 bilion jika nak beli tanah Kampung Baru

Khalid - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan melihat kemungkinan memerlukan suntikan dana sebanyak RM6 bilion hingga RM10 bilion sekiranya berhasrat untuk membeli tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata pihaknya sedang mengkaji mekanisme terbaik bagi mendapatkan dana itu, termasuk mungkin membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan bon perbandaran atau sukuk seperti yang diamalkan di negara maju.

“Masalah pembangunan di Kampung Baru satu sahaja, iaitu nak adakan duit mencukupi untuk membeli seluruh tanah lebih kurang 250 ekar daripada pemilik supaya kita boleh bangunkan secara tersusun, bersepadu dan mengikut pelan menyeluruh.

“Bagaimanapun, dana ini diperlukan dengan syarat seluruh pemilik tanah bersetuju menerima tunai sebagai rundingan pengambilalihan tanah mereka untuk dibangunkan pemaju yang akan dilantik,” katanya dalam persidangan media di kementeriannya di sini hari ini sempena setahun Pakatan Harapan mentadbir negara.

Khalid berkata perancangan menyeluruh penting kerana pembelian tanah secara terus daripada pemaju dan kemudian dibangunkan secara runcit seperti yang dilaksanakan sebelum ini tidak menghasilkan pembangunan yang terancang dan bersepadu.

Malah, Khalid berkata maklum balas yang diperolehinya mendapati rata-rata penduduk di Kampung Baru sebenarnya lebih berminat sekiranya tanah mereka dibeli oleh kerajaan untuk dibangunkan, berbanding pembelian oleh pemaju swasta.

Justeru beliau secara peribadi meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menyelesaikan isu pembangunan Kampung Baru dalam penggal ini juga dan berharap ianya mendapat kerjasama dan persetujuan oleh penduduk kawasan tersebut.

“Kalau dibiarkan (tanpa kemajuan) Kampung Baru akan menjadi satu kawasan yang tidak terjaga sehingga mencacatkan pemandangan kawasan kampung Melayu itu di mata pelancong sedangkan kawasan itu cukup bernilai dan dapat dimanfaatkan,” katanya. -Bernama