Ten Hag terkedu United dimalukan Liverpool

Ten Hag tidak dapat menerima kekalahan memalukan United kepada Liverpool. - Foto EPA
Ten Hag tidak dapat menerima kekalahan memalukan United kepada Liverpool. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag tidak boleh menerima kekalahan memalukan 0-7 The Red Devils kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.

Jurulatih itu juga menganggap para pemainnya tidak profesional kerana beraksi di bawah standard mereka.

"Saya rasa kami beraksi dengan agak baik pada separuh masa pertama. Hanya satu kesilapan sebelum tamat babak pertama.

"Separuh masa kedua bukan standard kami. Kami tidak bermain sebagai satu pasukan. Ia tidak profesional. Ya (marah)," ujar Ten Hag.

Keputusan terbaru United itu adalah kekalahan terburuk mereka kepada Liverpool dan kekalahan yang paling teruk sepanjang sejarah kelab itu.

Skuad kendalian Ten Hag rebah selepas ketinggalan menerusi gol pembukaan Cody Gakpo pada babak pertama.

Liverpool menjaringkan enam gol pada separuh masa kedua, dengan Gakpo sekali lagi menjaringkan gol.

Pemain sensasi, Mohamed Salah dan Darwin Nunez menghasilkan dua gol sebelum Roberto Firmino melengkapkan kemenangan besar Liverpool.

Ten Hag dilihat tersentap di tepi padang apabila jumlah gol semakin bertambah dan beliau mengakui barisan pemainnya mengecewakan diri mereka sendiri.

"Saya terkejut kerana pada setiap minggu dan bulan pasukan ini mampu berdaya saing dan mempunyai sikap inginkan kemenangan.

"Kami tidak mematuhi perancangan yang ditetapkan dan gagal melaksanakan tugas dengan baik.

"Kami tidak bangkit semula dan ia sangat tidak profesional," ujar Ten Hag.