Banjir Johor: Selangor sedia bantu bila-bila masa - MB

Amirudin berucap pada Program Jelajah #KitaSelangor Penyayang di Banting Waterfront pada Ahad.
Amirudin berucap pada Program Jelajah #KitaSelangor Penyayang di Banting Waterfront pada Ahad.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kerajaan negeri Selangor bersedia membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di Johor termasuk menggerakkan sukarelawan dan menyediakan bantuan peralatan bagi meringankan beban mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan memantau dan berhubung dengan kerajaan negeri Johor bagi mengetahui keadaan serta keperluan semasa mangsa-mangsa banjir di negeri berkenaan.

"Di Johor 'first batch' kita sudah hantar makanan, bantal dan kesemuanya kita hantar ke pusat agihan di Muar dan diagihkan ke daerah-daerah di negeri Johor sebab ia adalah hubungan G2G (antara kerajaan negeri).

"Selepas ini YB Khairuddin Othman (Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor) akan menghubungi rakan kongsinya di Johor untuk kita menghantar pasukan pembersihan dan (pasukan) Pantas.

"Kalau ada keperluan terhadap peralatan dan penyelamatan kita juga bersedia sebab kita ada bot dan sebagainya tetapi kita perlu dihubungi dan biasanya itu urus tadbir (diuruskan) oleh kerajaan Persekutuan dan Nadma," katanya ditemui pada Program Jelajah #KitaSelangor Penyayang di Banting Waterfront di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang diketuai Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad menghantar pelbagai barangan keperluan asas di Johor.

Barangan keperluan seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang itu terus dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan penghantaran untuk mangsa banjir.

Menurut kenyataan UPBN, sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak, air mineral serta pelbagai lagi.