Guru terkilan pakej umrah sekeluarga RM73,420 ditangguh

Bakal jemaah kecewa tarikh umrah mereka ditangguhkan.
Bakal jemaah kecewa tarikh umrah mereka ditangguhkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang guru dan pesara guru antara yang terkilan apabila pakej umrah berjumlah RM73,420 melibatkan sembilan sekeluarga mereka ditangguh pada saat-saat akhir oleh sebuah agensi pelancongan dan umrah pada minggu lalu atas alasan hotel penuh.

Mereka antara hampir 400 bakal jemaah yang menerima nasib sama dengan 58 mangsa mahukan wang mereka dikembalikan oleh pihak berkenaan.

Guru tersebut, Zahari Jusoh, 59, berkata, beliau membuat bayaran sebanyak tiga kali menggunakan duit pencen isterinya, pesara guru, Zainab Abdullah, 57, yang baru tamat perkhidmatan pada Oktober tahun lalu.

Menurut Zahari, isterinya itu amat beria-ria menampung perbelanjaan tersebut kerana berhasrat menghadiahkan ziarah dan umrah kepada anak serta menantu mereka.

Zahari (kanan) dan Zainab menunjukkan pesanan berkaitan penangguhan tarikh umrah yang diterima melalui WhatsApp.
Zahari (kanan) dan Zainab menunjukkan pesanan berkaitan penangguhan tarikh umrah yang diterima melalui WhatsApp.

“Pakej kami bermula 26 Februari hingga 8 Mac 2023, tetapi pada Khamis lalu iaitu dua hari sebelum menaiki penerbangan, kami terkejut apabila menerima pesanan melalui WhatsApp memberitahu tarikh untuk ibadah umrah kami ditangguhkan.

“Kami amat sedih dan kecewa malah menangis melihat beg-beg persiapan kerana ini pengalaman pertama bagi anak-anak.

“Lebih-lebih lagi anak lelaki saya (25 tahun) yang baharu mendapat kerja terpaksa berhenti untuk membolehkan cuti tujuan umrah ini,” katanya ketika ditemui semasa perhimpunan dengan mangsa-mangsa lain di hadapan pejabat agensi itu di sini pada Sabtu.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fahmi Mat Nawi, 35, berkata, beliau tidak menyangka impian pertamanya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci bersama ibu bapa dan empat lagi ahli keluarga yang lain pada tarikh itu lebur saat menerima makluman penangguhan tersebut.

“Sebelum ini lihat orang lain kena macam ini, kali ini tak sangka giliran saya pula yang terkena. Mereka memberi alasan hotel di Arab Saudi penuh kerana cuti sekolah dan limpahan pelancongan yang ramai ke Makkah waktu ini.

“Pihak agensi adakan pertemuan dengan kami pada Sabtu lalu memberitahu umrah ini ditangguhkan, namun tidak memberikan tarikh baharu yang tepat,” katanya.

Azura Mat Nawi, 50, pula berkata, sehingga kini mereka tidak menerima visa umrah dan pernah bertanyakan hal itu kepada pihak agensi.

“Persoalan itu hanya dijawab dengan meminta kami terus menunggu dan bersabar sehingga sekarang.

“Kami dah tak mahu gunakan perkhidmatan mereka sebaliknya meminta wang dikembalikan seperti dijanjikan tiga bulan bermula daripada surat yang bertarikh 1 Mac 2023 (diberikan kepada mereka pada Sabtu),” kata pembantu tadbir awam tersebut.

Dalam pada itu, wakil agensi menjelaskan, pihaknya memerlukan masa untuk memulangkan wang susulan pembelian tiket penerbangan sudah dibuat.

“Kami mengakui ada penangguhan dan kalau mahu kembali wang, maka proses akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk membuat bayaran balik.

“Tambah lagi apabila deposit hotel sudah dijelaskan dan kami harap pelanggan-pelanggan supaya bersabar dan memberi jaminan wang mereka dipulangkan,” katanya.