Liga M: Boleh beli tiket bola melalui Touch ‘n Go eWallet

Stuart Ramalingam (tengah) mengalu-alukan kerjasama Touch 'n Go eWallet bersama MFL bagi menyemarakkan lagi saingan Liga-M musim ini. - Foto: FB MFL
Stuart Ramalingam (tengah) mengalu-alukan kerjasama Touch 'n Go eWallet bersama MFL bagi menyemarakkan lagi saingan Liga-M musim ini. - Foto: FB MFL
A
A
A

PEMINAT bola sepak tanah air kini boleh membeli tiket menerusi Touch ‘n Go eWallet bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan, Touch ‘n Go yang menjadi e-dompet rasmi MFL serta penaja rasmi Liga-M termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menawarkan pulangan tunai sebanyak RM5, bagi pembelian minimum sebanyak RM50 kepada peminat yang membeli tiket di laman web www.tickethotline.com.my melalui Touch ‘n Go eWallet.

"Promosi khas ini akan bermula dari sekarang hingga 31 Mac 2023 tertakluk kepada terma dan syarat.

"Dalam beberapa bulan akan datang, pengguna Touch ‘n Go eWallet juga boleh membeli tiket dan barangan MFL eksklusif secara terus melalui applikasi eWallet, tertakluk kepada terma dan syarat,” menurut kenyataan tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengalu-alukan kerjasama Touch 'n Go eWallet bersama MFL bagi menyemarakkan lagi saingan Liga-M musim ini.

"Ini satu kolaborasi yang sangat baik kerana ia memberikan satu dimensi baharu dalam penajaan Liga Malaysia yang kini bergerak ke arah satu perubahan demi kemajuan semua kelab bertanding,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd Alan Ni pula berbangga menjadi e-dompet pilihan ramai dalam menyediakan keselamatan, transaksi tanpa tunai dan keselesaan kepada pencinta bola sepak untuk mendapatkan tiket perlawanan serta membeli makanan serta barangan lain di stadium. - Bernama