Chong Wei kongsi cerita susah senang bersama BAM

Hannah (dua, kiri) dan Adam Adli (kiri) serta Chong Wei (kanan) bergambar bersama patung lilin hasil rekaan Madame Tussauds Hong Kong ketika majlis pelancaran patung lilin tersebut di ibu negara pada Jumaat. Foto: Bernama
Hannah (dua, kiri) dan Adam Adli (kiri) serta Chong Wei (kanan) bergambar bersama patung lilin hasil rekaan Madame Tussauds Hong Kong ketika majlis pelancaran patung lilin tersebut di ibu negara pada Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

PATUNG lilin legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan dipamerkan di Madame Tussauds Hong Kong bermula 18 Mac ini.

Patung lilin Chong Wei yang siap pada Oktober tahun lalu telah dipamerkan di Madame Tussauds Singapura dan singgah di Malaysia pada Jumaat sebelum dipindahkan secara kekal ke Hong Kong, esok.

Pada majlis memperkenalkan patung lilin itu di Kuala Lumpur pada Jumaat, Chong Wei yang kelihatan sebak, menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membantunya mengecapi pelbagai kejayaan ketika bernaung di bawah persatuan itu selama 19 tahun.

"19 tahun dalam BAM, mereka bersama saya ketika 'susah dan senang'...saya akui perjalanan kerjaya saya seperti roller coaster.

"Paling saya ingat adalah ketika melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 di mana berdepan kes doping, ranking saya jatuh ke-182 tetapi dengan sokongan semua pihak terutamanya BAM, saya dapat kembali sebagai pemain nombor satu dunia dalam tempoh 11 bulan," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut hadir pada majlis itu berkata, kejayaan diraih pemenang pingat perak tiga kali di Sukan Olimpik itu, menjadi kebanggaan Malaysia yang perlu dicontohi oleh alet muda masa kini.

"Saya amat gembira kerana Madame Tussauds Hong Kong akan mempamerkan patung lilin Chong Wei, yang merupakan kebanggaan negara. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sangat komited untuk menyerlahkan potensi sukan negara kita," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Replika Chong Wei diperagakan dengan jersi dan seluar pendek berwarna biru serta sepasang kasut biru dan hijau dengan raket di sebelah tangan yang pernah dipakai legenda negara itu di Sukan Olimpik Rio 2016.