Terperangkap 3 hari, tiga beranak nekad redah banjir

Junaidi (dua dari kanan) bersama dua anaknya menaiki basikal untuk membeli makanan dibantu anggota bomba untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tembioh Kota Tinggi pada Jumaat.
Junaidi (dua dari kanan) bersama dua anaknya menaiki basikal untuk membeli makanan dibantu anggota bomba untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tembioh Kota Tinggi pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Laluan keluar masuk kampung yang dilanda banjir tidak menghalang tiga sekeluarga dari Kampung Tembioh di sini mendapatkan bekalan makanan.

Junaidi Hashim, 41, bersama dua anaknya berjalan kaki dan menaiki basikal meredah hujan ke sebuah pasar raya yang terletak tujuh kilometer untuk membeli makanan selepas terperangkap hampir tiga hari di rumah mereka.

Menurut Junaidi, rumahnya tidak dinaiki air banjir namun mereka tidak dapat keluar kerana laluan ke pusat bandar ditenggelami air sepenuhnya.

"Saya bersama anak, Mohd Haziq Fitri, 15, dan Mohd Aqil Thaqif, 12, memberanikan diri meredah banjir yang dalamnya antara 0.5 hingga hampir dua meter untuk membeli bekalan makanan seperti telur, ayam, sardin di pasar raya besar.

"Sewaktu pulang, pasukan bomba yang melalui laluan sama menggunakan trak bomba membantu kami untuk pulang ke rumah," katanya pada Jumaat.

Laluan ke Kampung Tembioh Kota Tinggi yang dinaki air.
Laluan ke Kampung Tembioh Kota Tinggi yang dinaki air.

Kampung Tembioh terletak sepanjang Sungai Johor dan bersebelahan pusat bandar Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Junaidi memberitahu, dia keluarga hanya akan berpindah ke PPS jika kediaman mereka ditenggelami air bah.

"Rumah kami sebenarnya agak tinggi dan tidak tenggelam ketika bah besar pada 2006 dan 2007. Saya juga telah sediakan kelengkapan generator sekiranya bekalan elektrik terputus.

"Malah saya juga menumpangkan jiran selepas rumah mereka ditenggelami banjir, namun saya juga bersedia berpindah ke PPS sekiranya keadaan banjir semakin buruk," katanya.

"Cuma dari segi bekalan makanan yang susah sikit jika habis kerana laluan keluar masuk ditenggelami banjir. Namun saya bersedia meredah banjir lagi jika ia tidak surut bagi membeli makanan," katanya.

Sebelum itu, petugas media menyertai operasi menyelamat pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, diketuai Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat bersama lima anggota.

Tinjauan mendapati keadaan banjir di pusat bandar semakin buruk dengan kawasan bandar ditenggelami air sehingga dua meter.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengawal keadaan bandar.