'Kemenangan untuk keluarga kami' - Rosmah

Rosmah ceria ketika menemui media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, selepas suaminya dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Rosmah ceria ketika menemui media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, selepas suaminya dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat melepas dan membebaskan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Deveploment Berhad (1MDB) sebagai suatu kemenangan buat keluarganya.

"Saya sempat bertemu dengan suami dan beliau menyatakan kesyukuran di atas keputusan itu.

“Syukur alhamdulillah, sebab kes ini adalah satu kemenangan bukan sahaja untuk suami tapi juga kepada keluarga selain memulihkan semangat kami," katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan kes.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berharap, keputusan itu akan menjadi permulaan bagi semua perkara yang baik pada masa akan datang.

"Saya juga yakin dalam kes Syarikat SRC International Sdn Bhd, kita akan dapat menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah sekiranya Mahkamah Persekutuan mendengar semula perbicaraan itu," katanya.

Dalam prosiding hari ini, Najib dan Arul Kanda dibebaskan atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Rayuan di Putrajaya, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Mendengar perkara itu, raut wajah bekas Perdana Menteri berubah serta-merta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang berada di kandang tertuduh terus memeluk anak perempuannya, Nooryana Najwa, 34, dan isteri yang berada di galeri awam.

Beliau yang memakai kot hitam dengan ditemani kakitangan Penjara Kajang turut menerima ucapan tahniah dan syukur daripada penyokongnya.