Kane perlu tinggalkan Spurs jika mahu trofi

Kane - Foto Agensi
Kane - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN sensasi, Harry Kane perlu memikirkan semula mengenai masa depannya bersama Tottenham Hotspur sekiranya dia mahu memenangi trofi dalam karier bola sepaknya.

Sekiranya pemain berusia 30 tahun itu mahu berjaya dalam kerjayanya, Manchester United adalah destinasi terbaik, kata bekas pemain The Red Devils, Gary Neville.

Kapten England itu menghabiskan seluruh kariernya di Spurs walaupun kerap dikaitkan untuk meninggalkan kelab itu dan yang paling diingati ketika dia meminta untuk menyertai Manchester City pada 2021 sebelum bersetuju untuk kekal di London.

“Saya fikir Harry (Kane) sudah pasti mahu memenangi trofi.

“Dia memberikan komitmen kepada Tottenham sepanjang lima tahun terakhir ini dan dia telah melakukan apa yang dilakukan oleh beberapa pemain lain.

“Namun jika Harry mahu meninggalkan pasukan itu, saya fikir ini adalah waktunya,” ujar Neville.

Kane tetap melalui musim yang produktif apabila meledak 18 gol daripada 25 penampilan terakhir dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi masih belum dapat memenangi sebarang gelaran utama bersama Spurs.

Peluang terbaharu untuk memenangi trofi sudah pun terlepas apabila Spurs tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Sheffield United awal pagi Khamis.

Menurut Neville, Kane sepatutnya meninggalkan kelab itu pada penghujung kempen kali ini dan percaya bekas kelabnya, United merupakan destinasi paling realistik buat penyerang itu.

“Dia seorang pemain yang luar biasa, seorang profesional yang hebat. Saya fikir jika Harry mahu meninggalkan kelab itu dan anda boleh membawanya ke salah satu kelab Manchester, United atau City. Saya fikir dia akan mengambil peluang itu.

“Dia mungkin tidak akan ke City berdasarkan perbelanjaan yang telah mereka keluarkan untuk mendapatkan (Erling) Haaland tetapi United kelihatan terdesak untuk mendapatkan seorang penyerang tengah,” ujar Neville.