AS sedia tawar program latihan bidang pertanian kepada Malaysia

Brian McFreeters ketika mengunjungi Mohamad di Menara LPP, Kuala Lumpur pada Rabu.
Brian McFreeters ketika mengunjungi Mohamad di Menara LPP, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Amerika Syarikat (AS) menyatakan kesediaan untuk menawarkan pelbagai program latihan jangka pendek dan panjang dalam bidang pertanian yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Duta Besar Amerika Syarikat di negara ini, Brian McFreeters ketika mengunjungi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023.

MAFS dalam satu kenyataan berkata, pertemuan kali pertama antara kedua-dua pemimpin itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pertanian.

Menurut kenyataan itu, isu sekuriti makanan dan kerjasama teknikal antara perkara yang dibincangkan.

"Dalam pertemuan ini, Mohamad menekankan tentang isu yang menjejaskan sekuriti makanan di negara ini merupakan isu global yang turut memberi kesan kepada negara lain.

"Oleh yang demikian, adalah penting untuk kedua-dua negara bekerjasama untuk meningkatkan penghasilan makanan melalui penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI)," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan dalam sektor pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

"AS merupakan rakan dagang pertanian berpotensi tinggi untuk terus diperkembangkan.

"Pertemuan ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Malaysia," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, terdapat peningkatan nilai dagangan pertanian antara Malaysia dengan Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga November2022 iaitu RM13.24 bilion berbanding RM12.55 bilion pada tahun 2021.