Sempat tangkap 500kg hasil laut sebelum dicekup

Lima nelayan warga Myanmar ditahan bersama 500kg hasil laut.
Lima nelayan warga Myanmar ditahan bersama 500kg hasil laut.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menangkap lima nelayan warga Myanmar selepas menahan sebuah bot nelayan tempatan pada jam 8.55 pagi, Khamis.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan termasuk tekong bot berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun itu ditahan ketika pihaknya sedang menjalankan rondaan rutin dalam Op Pertiwi dan Op Tanjung.

Menurutnya, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda.

"Kita mendapati bot tersebut sedang menangkap ikan pada kedudukan 27 batu nautika barat laut Pulau Kendi. Pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kelima-lima nelayan warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kelulusan penggunaan kru bukan warga tempatan yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, pemilik bot pula disyaki melakukan kesalahan kerana membenarkan warga asing tinggal dalam bot kepunyaannya dan gagal memasang alat pengesan vesel (VMS).

Bot kelas C yang dirampas daripada lima nelayan Myanmar.
Bot kelas C yang dirampas daripada lima nelayan Myanmar.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara yang sah.

"Sementara pemilik bot pula didapati melakukan kesalahan mengikut akta yang sama kerana membenarkan warga asing tinggal di dalam bot kepunyaannya selain melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran serta gagal memasang alat VMS," katanya.

Kata beliau lagi, bot serta kesemua nelayan itu ditahan bersama 500 kilogram hasil laut.

"Kesemua nelayan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Kita akan teruskan operasi bagi mengekang kesalahan-kesalahan yang sama berulang.

"Walaupun banyak amaran dikeluarkan selain tindakan telah diambil, masih ramai pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin untuk bekerja. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia," katanya.