Barca dihadiah gol sendiri Madrid

Xavi - Foto AFP
Xavi - Foto AFP
A
A
A

BEKALAN satu jaringan belum selamat buat Barcelona untuk melayan kunjungan Real Madrid dalam aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di laman sendiri awal bulan depan.

Barca yang dibimbing Xavi Hernandez dihadiahkan gol sendiri oleh pemain Madrid, Eder Militao di Santiago Bernabeu dalam aksi pertama awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun kemenangan itu belum memuaskan hati Xavi kerana penguasan bola lebih memihak Madrid, namun mujur Barca ampuh bertahan.

"Walaupun kurang puas hati, saya tetap puji kesungguhan pemain. Kekentalan mereka bertahan," ujar Xavi.

Barca hanya mencipta 35 peratus penguasaan bola, catatan terendah mereka sepanjang 685 perlawanan dalam lapan musim terakhir berbanding rekod terendah sebelum ini adalah 44 peratus.

"Kami meminimakan peluang Madrid di tempat mereka tidak seperti selalu mereka lakukan. Ia keputusan positif yang sudah tentu saya gembira," ujar Xavi.

Di sebalik kejayaan itu, Xavi mengesan beberapa kekurangan termasuk kelemahan penguasaan bola dan mahu aspek itu dipertingkatkan.

"Kebiasaannya, kami lebih baik dalam penguasaan. Kami tidak membuat pilihan bijak, hilang sabar dengan bola.

"Kami gagal menang persaingan fizikal dalam kawasan mereka tetapi ada aspek lain yang yang saya gembira," ujar Xavi.

Walaupun Madrid mendominasi perlawanan, Barca tidak membenarkan lawannya mencipta satu pun percubaan tepat ke sasaran.

Gol kemenangan Barca diperoleh minit ke-26 selepas Militao tertampan bola ke gawang sendiri susulan percubaan Franck Kessi.

Kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Barcelona pada 5 April dan pemenang akan menentang Athletic Bilbao atau Osasuna di final.