Hukuman sebat mandatori ke atas penyeludup PATI

Tindakan tekong darat menyeludup masuk lapan PATI warga Myanmar gagal apabila ditahan Batalion 7 PGA Kuantan di Kampung Kedap, Rantau Panjang. - Gambar Fail
Tindakan tekong darat menyeludup masuk lapan PATI warga Myanmar gagal apabila ditahan Batalion 7 PGA Kuantan di Kampung Kedap, Rantau Panjang. - Gambar Fail
A
A
A

ISU kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini bukanlah perkara baharu yang mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Ia isu lapuk yang saban tahun berlaku dan diburukkan lagi dengan kemasukan PATI berstatus pelarian, kononnya mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Aliran kemasukan PATI yang kencang dipercayai berpunca daripada habuan lumayan ditawarkan oleh sindiket pemerdagangan manusia kepada ejen laut dan darat, sekali gus menyebabkan aktiviti tersebut sukar dibendung oleh pihak penguat kuasa.

Laporan akhbar mengenai kadar upah RM3,000 satu kepala untuk menyeludup masuk pendatang etnik Rohingya di beberapa pangkalan haram di Sungai Golok dekat Tumpat, Kelantan baru-baru ini membuktikan bahawa aktiviti tersebut semakin menjadi-jadi.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan paling keras dengan melaksanakan hukuman sebat atau rotan mandatori kepada individu yang bersubahat membawa masuk PATI ke dalam negara.

Ini kerana pelaksanaan hukuman dan penalti sedia ada seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kepada individu yang bersekongkol dalam aktiviti tersebut.

Mungkin hukuman sebat enam kali bagi setiap seorang PATI yang diseludup boleh memberi pengajaran kepada orang lain supaya berfikir dua kali untuk tidak melakukan perkara sama.

Cuba bayangkan, jika jumlah PATI yang diseludup ialah 10 orang, si pelaku sudah tentu menerima sebatan sebanyak 60 kali sepanjang tempoh tahanan di penjara.

Jadi, wajarkah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 diubah?

ATIPSOM adalah satu isu global kerana ia melibatkan kes rentas sempadan dan pelanggaran hak asasi manusia, selain membawa kepada kesan politik, ekonomi dan sosial.

Apa yang berlaku jika PATI masuk? Sudah semestinya akan berlaku lambakan PATI dan masalah jenayah sosial, selain mencetuskan masalah hubungan dua hala dengan negara lain.

Justeru, hukuman sebat mandatori terhadap penyeludup mungkin merupakan langkah yang terbaik bagi memperlahankan aktiviti membawa masuk PATI ke negara ini.