Mangsa banjir di lima negeri terus meningkat

Anggota bomba membantu orang ramai meredah banjir. - Foto Bernama
Anggota bomba membantu orang ramai meredah banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir melibatkan lima negeri terus meningkat petang ini dengan 29,091 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka.

Di JOHOR, keadaan banjir semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 26,633 orang setakat 2 petang ini, berbanding 25,213 orang 8 pagi tadi dengan tujuh lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 193 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan Segamat adalah daerah paling teruk terjejas dengan 2,189 keluarga dipindahkan ke 60 PPS, diikuti Kluang dengan 1,571 keluarga di 39 PPS; Kota Tinggi (773 keluarga di 18 PPS); Johor Bahru (604 keluarga di 12 PPS) dan Pontian (60 keluarga di empat PPS).

Turut terjejas daerah Muar dengan 573 keluarga ditempatkan di 14 PPS; Kulai melibatkan 242 keluarga di enam PPS; Mersing seramai 150 keluarga di enam PPS dan Tangkak seramai 255 keluarga di 13 PPS serta Batu Pahat dengan 894 keluarga di 22 PPS, kata jawatankuasa itu.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan 1,373 mangsa banjir masih berada di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat tengah hari ini.

Rompin mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 662 orang dengan 10 PPS beroperasi diikuti Maran (441 mangsa, tujuh PPS), Pekan (106 mangsa, dua PPS), Jerantut (96 mangsa, sebuah PPS) dan Raub (68 mangsa, lima PPS).

Di NEGERI SEMBILAN, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan keseluruhan 928 mangsa daripada 256 keluarga setakat pukul 1 tengah hari berbanding 704 mangsa daripada 197 keluarga pagi tadi.

Ia membabitkan Tampin, Kuala Pilah dan Jempol dan kesemua mereka ditempatkan di 12 PPS dengan PPS Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelamah merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 538 individu.

Sementara itu, di MELAKA, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 49 mangsa dari 15 keluarga pada 12 tengah hari tadi berbanding 67 mangsa daripada 21 keluarga pada 8 pagi tadi.

JBPN Melaka dalam satu kenyataan berkata lapan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun di daerah Alor Gajah, manakala di Jasin, hanya tiga mangsa dari dua keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan dan SK Chohong menempatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga.

"Kesemua mangsa terjejas itu melibatkan penduduk dari Kampung Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Kampung Gadek, Kampung Panchor, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Kampung Pulau di daerah Alor Gajah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kawasan terjejas banjir di Jasin melibatkan Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan dan Kampung Chohong.

Di SABAH, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 108 orang daripada 24 keluarga masih berada di PPS Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod petang ini.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di satu atau dua tempat di Sabah pada malam ini.

Sementara itu Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan terdapat kejadian cerun runtuh di Jalan Kampung Buang Sayang, Kinabatangan, namun jalan itu masih boleh dilalui semua jenis kenderaan dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati. - Bernama.