Banjir: Ibu tunggal gigih selamatkan baju sekolah anak

Keadaan banjir yang melanda salah sebuah rumah penduduk kampung di Johor. - Foto Bernama
Keadaan banjir yang melanda salah sebuah rumah penduduk kampung di Johor. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Seorang ibu tunggal hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan pakaian sekolah baharu empat anaknya apabila air banjir naik mendadak di rumahnya di Jalan Sawi, Yap Tau Sah, di sini Selasa lepas.

Nor Azimah Ibrahim, 39, berkata kejadian pada waktu malam itu berlaku ketika dia baru pulang kerja dan terus menyelamatkan dokumen serta barangan penting.

Nor Azimah berkata, dia bagaimanapun gagal menyelamatkan kereta Perodua Kancil miliknya kerana air telah mencecah hingga 0.6 meter.

"Tak sempat nak angkat apa-apa, yang dapat dokumen, baju sekolah. Yang penting sudah beli kelengkapan anak-anak untuk penggal baharu macam beg, kasut... itu yang penting," katanya yang ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Nor Azimah yang mempunyai anak perempuan berusia tujuh, 10, 13 dan 17 tahun berkata, dia bersyukur kejadian kali ini tidak seburuk pada 2006.

"Masa tu (banjir 2006), air naik tinggi sampai paras tingkap, tak sempat nak capai apa-apa, jadi kami tinggal sehelai sepinggang," katanya yang turut dibantu abangnya dan kakak ipar mengemas rumah.

Sementara itu, Idris Kassim, 52, mengakui air yang meningkat terlalu cepat membuatkan dia dan isteri tidak sempat mencapai apa-apa selain dokumen penting dan buku sekolah anak.

Idris berkata dia bagaimanapun sempat mengalihkan dua motosikal ke tempat tinggi susulan amaran daripada pihak berkuasa.

"Alhamdulillah, tak teruk berbanding dulu tetapi sebab air naik mendadak, (hanya) dapat selamatkan dokumen penting, buku sekolah anak," katanya yang berkhidmat sebagai posmen.

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 26,633 mangsa banjir telah dipindahkan ke 193 pusat pemindahan sementara dengan Kluang menjadi daerah kedua paling terjejas melibatkan 5,470 mangsa. - Bernama.