'Semua calon Naib Presiden UMNO ada kekuatan masing-masing'

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui semua calon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini ada kelebihan, kekuatan dan hala tuju masing-masing.

Bagaimanapun beliau yang turut bertanding merebut jawatan itu meminta para perwakilan memilih secara bijak supaya barisan Naib Presiden UMNO mempunyai kombinasi terdiri Menteri Besar, Pengerusi UMNO Negeri dan ahli Parlimen.

Menurutnya, gabungan itu penting kerana dalam mesyuarat, mereka dapat memberi pandangan dan idea sesuai dengan kekuatan dan pengalaman masing-masing.

"Menteri Besar atau Pengerusi UMNO negeri perlu diberi peluang untuk berada dalam barisan ini seperti yang berlaku suatu ketika dahulu," katanya ketika ditemui di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, keputusannya untuk bertanding jawatan itu atas kesedaran bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti agar bersama-sama kepimpinan memperkuatkan kembali UMNO.

"Saya tidak boleh berada di Pahang sahaja sebaliknya dengan pengalaman yang ada selama mentadbir negeri boleh digunakan sekiranya diberi mandat untuk bersama-sama kepimpinan memulihkan sokongan rakyat kepada parti keramat ini," jelasnya.

Bagaimanapun, Wan Rosdy sentiasa terbuka dan berlapang dada dengan sebarang keputusan perwakilan pada pemilihan UMNO itu nanti.

"Dalam setiap pertandingan sudah tentu ada yang menang kalah dan perlu menerimanya dengan hati terbuka.

"Kita tidak boleh terlalu yakin dan perlu serahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk memilih.

"Jika menang maknanya kita ada kekuatan untuk parti dan kalau kalah mungkin orang lain lebih baik," katanya.

Pengerusi UMNO/BN negeri itu berkata, semua pihak perlu menghormati proses demokrasi dan tidak boleh menyalahkan orang lain atas setiap kekalahan.

"Paling penting, kita kena pasarkan diri dengan rekod perkhidmatan terbaik untuk parti dan selebihnya terpulang kepada perwakilan," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, usaha untuk pulihkan UMNO perlu ada strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang dan perlu disegerakan kerana untuk kembalikan keyakinan rakyat bukan satu perkara yang mudah.

"Kena ada cara yang betul, jelas dan matlamat yang tepat selain mengurangkan masalah dalaman.

"Perjuangan ini juga menuntut kesetiaan dalam kalangan ahli dan pimpinan.

" Saya percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan satu barisan kepimpinan yang setia sebagai satu pasukan dan masalah dalaman dapat dikurangkan," ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya masalah dalam terus berlaku, ia tidak akan mengubah keadaan.

"Harapan saya, selepas pemilihan UMNO nanti, parti kembali kuat, masalah dalaman dapat dikurangkan dan semua boleh bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Wan Rosdy yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Bahagian UMNO Cameron Highlands berharap pemilihan bahagian di negeri ini berjalan lancar dan penuh harmoni.

"Berkempen secara sihat dan tidak menyerang antara satu sama lain. UMNO Pahang mempunyai kekuatan sebab itu kita dapat terus bertahan dan berjaya mengekalkan kuasa di negeri ini," ujarnya.

Menurutnya, selain Cameron Highlands, lima ketua bahagian turut menang tanpa bertanding iaitu Lipis, Bentong, Bera, Kuantan dan Kuala Krau.