Hanis Hazwani bertanding Ketua Puteri UMNO Bahagian Subang

Hanis Hazwani
Hanis Hazwani
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Puteri Cawangan Subang Jaya Selatan, Hanis Hazwani Hazmin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Subang, pada pemilihan kali ini.

Beliau berkata, Puteri UMNO adalah seperti kanvas putih yang patut dicorak dengan sebetulnya bagi menarik lebih ramai penyertaan daripada golongan muda.

Katanya, jika mengambil keputusan untuk bersaing tanpa membuat apa-apa persediaan, kita akan dilihat terkebelakang apabila semua orang bergerak ke hadapan.

"Saya telah turun padang mendekati dan menjelaskan kepada setiap perwakilan mengenai misi dan visi untuk Puteri UMNO sekiranya menang nanti.

"Apabila diberi peluang untuk mengemudi Puteri UMNO Bahagian Subang, saya percaya mampu mempromosikan UMNO serta menggalakkan golongan muda terutamanya wanita untuk berjinak dengan politik,"katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Hanis Hazwani, dia bermula di peringkat cawangan jadi sangat memahami setiap denyut nadi akar umbi.

"Sebenarnya UMNO tidak lapuk dalam kalangan orang muda namun kita yang perlu bijak menarik perhatian mereka dengan cara berbeza.

"Saya tidak kata cara lama salah tetapi agak sukar untuk memahami pemikiran golongan muda pada masa kini.

Beliau turut berpendapat, pandangan daripada ahli lain perlu didengar bagi mewujudkan sebuah organisasi yang kukuh.

"Untuk menjadi seorang ketua, kita perlu terbuka bukan sahaja dilihat sebagai individu yang boleh bekerja tetapi perlu memilih ketua yang mampu mengemudi sebuah organisasi.

"Saya juga memberi jaminan saya tidak akan melangkah sendirian, malah saya mahu maju bersama anda," katanya.

Beliau turut menjelaskan, media sosial memainkan peranan yang penting untuk menarik orang muda terutamanya wanita.