Guru tahfiz lemas ketika mandi pantai

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan lemas berhampiran sebuah resort di Marang, pada Khamis. -Foto: Ihsan Bomba
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan lemas berhampiran sebuah resort di Marang, pada Khamis. -Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

MARANG - [DIKEMAS KINI] Seorang guru pusat tahfiz dari Shah Alam, Selangor meninggal dunia selepas ditemukan lemas ketika mandi pantai di sebuah resort, di sini dalam kejadian pada Khamis.

Mangsa, Nabil Husaini Halimun Nawar, 22 dikatakan mandi pantai bersama beberapa pelajar selepas selesai mengadakan aktiviti sukaneka di lokasi tersebut sebelum dihanyutkan ke tengah laut kira-kira jam 9.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba diselamatkan oleh kakitangan resort tersebut namun telah meninggal dunia.

"Salah seorang pelajar ternampak mangsa tiba-tiba ke tengah laut dan meminta tolong.

"Pelajar tersebut bergegas mendapatkan pertolongan dari pekerja resort berkenaan, malangnya mangsa sudah tidak bernyawa sebaik dibawa naik ke darat," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Menurut Zain, mangsa yang juga merupakan tenaga pengajar bersama-sama lima guru serta 35 pelajar terlibat dalam kem motivasi di situ dan dijangka pulang ke Shah Alam hari ini (Khamis).

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Zain turut menasihatkan orang awam supaya peka terhadap perubahan cuaca yang diramalkan tidak menentu sehingga 6 Mac ini dan mengelakkan aktiviti di air.

Jelas beliau, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor Timur sepanjang tempoh itu.