Pan-gon ubah wajah Harimau Malaya

Pan-gon. -Foto Bernama
Pan-gon. -Foto Bernama
A
A
A

KEHADIRAN jurulatih dari Korea Selatan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih kebangsaan, telah membawa banyak perubahan terhadap prestasi Skuad Harimau Malaya sejak beliau dilantik pada pertengahan Februari tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia dapat dibuktikan apabila buat kali pertama sejak 43 tahun yang lalu pasukan bola sepak negara berjaya melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu.

"Beliau juga berjaya membuktikan kemampuannya dengan membawa pasukan bola sepak negara mengharungi sehingga ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Justeru kewujudan jurulatih asing bukanlah satu perkara baharu dalam arena bola sepak dunia dan pelantikan yang dilakukan adalah berdasarkan pengalaman dan rekod prestasi cemerlang bagi membantu atlet mempamerkan prestasi terbaik," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang bertanyakan sama ada kementerian masih percaya dengan kemampuan jurulatih yang ada dan pemain-pemain naturalisasi berdasarkan pencapaian di Kejohanan AFF itu dan ranking terkini skuad Harimau Malaya.

Menurut Hannah kehadiran pemain naturalisasi dalam sukan bola sepak negara juga bukan satu kerisauan kerana kementerian sentiasa bersama FAM untuk memastikan pembangunan pemain tempatan menjadi keutamaan melalui program pembangunan bola sepak negara.

Dari segi ranking semasa Harimau Malaya pula, Hannah berkata pasukan bola sepak negara kini berada di tangga ke-145 di peringkat FIFA, tempat 25 peringkat Asia dan kedudukan kelima peringkat Asean.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Kalam sama ada KBS bercadang untuk mengadakan kembali liga bola sepak di peringkat daerah bagi memeriahkan aktiviti untuk anak muda di daerah-daerah, khususnya di kawasan luar bandar, Hannah berkata beliau akan membincangkan perkara itu bersama FAM.

"Saya percaya menerusi inisiatif baharu dalam Belanjawan 2023, geran padanan akan membolehkan lebih banyak lagi aktiviti sukan di peringkat akar umbi seperti yang dicadangkan," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana geran padanan berjumlah RM50 juta diperuntukkan bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan khususnya berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan. - Bernama