Mane dedah sokongan Ronaldo

Ronaldo (kiri) menganggap keputusan Mane untuk menyertai Bayern sebagai tepat.
Ronaldo (kiri) menganggap keputusan Mane untuk menyertai Bayern sebagai tepat.
A
A
A

PEMAIN sensasi, Sadio Mane 'membuka mulut' mengenai sokongan Cristiano Ronaldo terhadap tindakannya meninggalkan Liverpool untuk beraksi di Bundesliga apabila menyertai Bayern Munich pada pertengahan musim lalu.

Bekas pemain Manchester United itu memberitahu bahawa Mane telah membuat satu keputusan yang besar dalam karier bola sepaknya.

Pemain Senegal itu menamatkan tempoh enam tahun di Merseyside pada Julai 2022 dan menyertai gergasi Jerman, Bayern dengan nilai perjanjian 27.4 juta pound (RM147.24 juta).

"Saya bertemu Cristiano (Ronaldo) di Mallorca sebelum bermula musim ini.

"Dia ucap tahniah sambil berkata; kelab yang hebat. Ini langkah besar untuk anda," ujar Mane.

Penghijrahan itu melemahkan barisan depan Liverpool, manakala Mane pula dibelenggu kecederaan dan hanya beraksi 25 minit sepanjang empat bulan lalu selain tersisih daripada saingan Piala Dunia.

Mane memberitahu, Ronaldo turut memperkatakan mengenai saingan sengit di Bundesliga.

"Saya rasa anda memandang rendah Bundesliga, tetapi persembahan terbaharu dalam Liga Juara-Juara membuktikannya," ujar Mane.

Selepas pulih daripada kecederaan Ahad lalu, pemain berusia 31 tahun itu membantu Bayern mengalahkan pencabar liga, Union Berlin 3-0.

Difahamkan Ronaldo yang beraksi bersama kelab Al-Nassr di Arab Saudi mahu menyertai Bayern pada musim panas lalu ketika dia mencari jalan keluar meninggalkan Old Trafford.