Banjir di Johor agak kritikal - Onn Hafiz

Onn Hafiz melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman pada Khamis. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman pada Khamis. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

SEGAMAT - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan banjir yang melanda negeri ketika ini sebagai agak kritikal dengan lebih 20,000 penduduk terjejas bencana alam itu.

Beliau berkata, semua pihak daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri telah berganding bahu bagi memastikan rakyat menerima bantuan secepat mungkin.

"Saya harap mangsa bersabar dan kita doa banjir kali ini cepat surut dalam masa terdekat, cuaca hari ini bertambah baik di Segamat," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman di sini pada Khamis.

Onn Hafiz berkata, mangsa banjir yang dilaporkan terperangkap sebelum ini juga berjaya diselamatkan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Beliau menambah, dalam keadaan krisis seperti ini komitmen yang diberikan semua pihak adalah baik terutamanya dalam menyediakan makanan, khemah serta keperluan lain.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Makhota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menyumbangkan bantuan makanan dan prihatin dengan nasib mangsa banjir.

Setakat ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir melonjak lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang pagi ini melibatkan semua 10 daerah.

Segamat merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan 2,050 keluarga dipindahkan ke 55 PPS, diikuti Kluang dengan seramai 1,559 keluarga di 39 PPS; Kota Tinggi seramai 769 keluarga di 18 PPS; Johor Bahru melibatkan 607 keluarga di 12 PPS dan Pontian dengan 58 keluarga di lima PPS.

Tinjauan Bernama di Segamat mendapati paras air turun tetapi beberapa laluan masih tidak dapat dilalui untuk kenderaan ringan.

Keadaan air Sungai Segamat yang tinggi dan deras turut menjadi perhatian orang ramai dengan beberapa kenderaan dilihat diletakkan di tepi jalan sepanjang laluan masuk ke bandar Segamat selepas rumah dinaiki air. - Bernama