Wanita hamil didakwa tipu tawaran pakej haji, umrah

Tertuduh (tengah) diiringi pegawai polis sebaik tiba di perkarangan mahkamah pada Khamis.
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai polis sebaik tiba di perkarangan mahkamah pada Khamis.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang wanita hamil yang juga merupakan pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan menipu dalam menawarkan pakej haji dan umrah.

Tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 61 tahun untuk membayar RM14,000 bagi pakej umrah dan haji yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu kepada tertuduh sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Disember 2022 sehingga 27 Januari lalu antara jam 8.46 pagi hingga jam 9.52 malam di sebuah pondok agama di Kuala Talang,Tanjung Ipoh.

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh di lokasi sama pada 27 Disember 2022 hingga 12 Januari lepas pada jam antara 9.52 pagi hingga 3.26 petang didakwa menawarkan pakej umrah tanpa memegang lesen daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(3) akta yang sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 iaitu menawarkan pakej haji tanpa memegang lesen pengelola jemaah haji yang dikeluarkan oleh Tabung Haji.

Kesalahan itu juga dilakukan di lokasi sama, pada 24 Januari hingga 27 Januari lepas.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM11,500 bagi kesemua pertuduhan dengan tiga orang penjamin dan menetapkan 3 April depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.