Majikan utamakan keuntungan punca warga asing monopoli kerja

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

AKIBAT sikap majikan yang mengutamakan keuntungan, isu monopoli warga asing terus mencetuskan keresahan ramai pihak apabila penduduk tempatan gagal mendapat peluang pekerjaan di negara sendiri.

Difahamkan majikan memilih pekerja asing kerana ingin menjimatkan kos operasi, tidak perlu membayar caruman pekerja dan insurans.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak ubah seperti tetapi menafikan hak rakyat tempatan untuk mendapat pekerjaan di tanah air sendiri.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima banyak aduan mengenai syarikat-syarikat tempatan yang sudah mendapat kelulusan kuota pekerja asing dan kemudiannya mengambil tindakan pemberhentian terhadap pekerja tempatan.

Aduan terbaharu yang diterima oleh kementerian itu membabitkan pemberhentian 102 pekerja tempatan di Pulau Pinang.

Menterinya, V Sivakumar memberitahu, majikan atau syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.

"Saya ingin memberi peringatan tegas kepada majikan dan syarikat-syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi menggantikan pekerja tempatan sedia ada.

"Pihak kami juga akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing," jelasnya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan pengurusan syarikat pembuatan di Nilai, Negeri Sembilan yang didakwa tidak mengutamakan pekerja tempatan, sebaliknya bersikap ‘menganaktirikan’ kumpulan itu dengan menggaji buruh asing untuk menggantikan mereka.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, syarikat itu juga mengambil peluang ke atas kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja di sektor tertentu.

Katanya, MTUC menerima laporan bahawa 30 pekerja tempatan diberhentikan kerja dengan notis 24 jam disebabkan majikan mengambil pekerja asing dari Nepal, Indonesia dan Bangladesh untuk menggantikan mereka.

“MTUC yakin bahawa pengurusan syarikat di Nilai menggajikan pekerja asing yang tidak sah. Ini kerana penginapan pekerja asing ditempatkan di kilang yang tidak mengikut Akta Standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja.

“Pekerja asing ditempatkan di kilang dan mereka ini juga diajar bagaimana untuk keluar daripada premis apabila pihak berkuasa datang,” jelasnya.