Penerbangan ihsan bawa tiga ibu mengandung ekoran jalan runtuh

Tiga ibu mengandung berisiko tinggi berjaya dibawa keluar menerusi penerbangan ihsan oleh TUDM ekoran jalan runtuh di Felda Selancar, Rompin. - Foto Facebook
Tiga ibu mengandung berisiko tinggi berjaya dibawa keluar menerusi penerbangan ihsan oleh TUDM ekoran jalan runtuh di Felda Selancar, Rompin. - Foto Facebook
A
A
A

KUANTAN - Tiga ibu mengandung berisiko tinggi yang berada dalam fasa pertama kelahiran dan terputus hubungan ekoran jalan runtuh di Felda Selancar, Rompin berjaya dibawa keluar menerusi penerbangan ihsan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka kini menerima rawatan di dewan bersalin Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah dibawa dengan ambulans ke hospital itu pada 8.33 malam selepas mendarat di lapangan terbang TUDM di sini.

"Penerbangan ihsan digerakkan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Rompin menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada 10.30 pagi berhubung keadaan ibu mengandung tersebut.

"Satu pasukan Obstetric Retrieval dari HTAA yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan obstetrik dan jururawat kesihatan telah diterbangkan ke Felda Selancar pada 4.51 petang menggunakan helikopter TUDM," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pasukan itu tiba di lokasi pada 6.15 petang dan ketiga-tiga pesakit telah diperiksa serta didapati stabil sebelum dibawa keluar.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk TUDM, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Rompin dan Kerajaan Negeri Pahang yang membantu melancarkan misi menyelamat tersebut.

Jalan utama ke Felda Selancar runtuh sekitar 4 pagi ini akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan ia ditutup kepada semua kenderaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang melawat lokasi kejadian petang tadi, mengumumkan pembinaan sebuah jambatan bailey yang akan dilakukan segera untuk kemudahan penduduk sementara menanti jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya. - Bernama