Kalau asyik kalah, baik jadi NGO - Fadwah

Fadwah Anuwar
Fadwah Anuwar
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO sanggup menggadaikan prinsip politiknya kerana sering menjalinkan kerjasama dengan pelbagai parti sebelum ini adalah tidak berasas.

Sebaliknya kata Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar, keputusan yang dibuat oleh parti Melayu terbesar itu adalah selaras dengan keadaan semasa dalam memastikan perjuangan mereka membela nasib rakyat terlaksana dengan jayanya.

“Kita juga kena ingat, parti politik ini kelangsungannya adalah pilihan raya, kalau asyik kalah sahaja, baik kita jadi badan bukan kerajaan (NGO).

“Hakikatnya kita perlu menjadi juara rakyat dan ia adalah platform paling baik, kita kena beradaptasi ikut keadaan, berubah mengikut keadaan, bukan keadaan mengikut kita,” kata beliau dalam Program Berani Semuka bertajuk “Masa depan Puteri UMNO” yang dhoskan Amin Idris pada Rabu.

Hadir sama sebagai panelis di dalam program tersebut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar.

Fadwah menambah, seluruh ahli Puteri UMNO harus bergiat aktif dalam membawa suara dan keluhan rakyat ke peringkat nasional.

Jelas beliau, mereka tidak boleh berada di takuk yang sama iaitu dengan membawa naratif politik lama terhadap masyarakat bagi mendapatkan sokongan.

“Masa sudah berubah dan semua sayap harus sedar termasuk Puteri UMNO, kita bergerak ke hadapan dan berfikir di luar kotak.

“Puteri kini mengikut kemahuan sebenar rakyat Malaysia terutama generasi muda seperti tentang apa yang dimahukan mereka,” ujarnya.

Kata Fadwah, isu ekonomi dan kos sara hidup yang membelenggu kebanyakan anggota masyarakat kini memerlukan buah fikir penyelesaian bersama termasuk daripada sayap berkenaan.