Najib tahu transaksi berkaitan 1MDB - Bekas pegawai bank

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau mempunyai tanggapan transaksi dalam akaun milik syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) telah dibuat dengan ‘pengetahuan’ Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kevin Micheal Swampillai, 59, yang berkhidmat dengan BSI Bank Singapore dari 2010 hingga 2016, berkata, ini kerana pelanggan bank itu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd, adalah syarikat milik Kementerian Kewangan semasa Najib menjadi Menteri Kewangan.

"Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang juga dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Selain itu, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, turut membayangkan bahawa beliau adalah penasihat Najib seperti yang dimaklumkan oleh pegawai atasan dan Pengurus Perhubungan Yak Yew Chee kepada saya.

"Saya juga mempunyai tanggapan itu susulan respons konsisten Jho Low bahawa kesemua transaksi ini adalah pelaburan kerajaan dengan kerajaan yang amat sulit, justeru, tiada maklumat lanjut boleh diberikan.

"Selain itu, saiz kesemua transaksi adalah pada magnitud dan kekerapan tinggi yang memerlukan kelulusan tertinggi daripada pegawai kerajaan berjawatan tinggi seperti Perdana Menteri," kata saksi pendakwaan ke-44 itu ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Beliau berkata, perkara yang sama bagi semua syarikat yang merupakan pelanggan BSI Bank ialah kehadiran Jho Low dan kesemuanya berada di bawah Kementerian Kewangan serta menggunakan dana fidusiari.

Meskipun terdapat penyelesaian fidusiari alternatif seperti insurans dan unit amanah yang boleh digunakan untuk melapisi aliran wang serta menyembunyikan identiti pelanggan, Kevin berkata, Jho Low memilih untuk menggunakan struktur dana fidusiari.

"Sebenarnya, saya tidak tahu motif Jho Low memilih dana fidusiari dan bukannya insurans serta unit amanah ketika hubungan BSI Bank dengan Jho Low dan syarikat-syarikat milik MoF bermula pada 2011, namun kini saya percaya ia adalah satu rancangan jahat untuk memberikan ilusi bahawa dana 1MDB telah dilaburkan dalam pelaburan yang sah serta benar-benar wujud.

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira maklumat yang muncul dalam domain awam sejak 2015, adalah jelas bahawa Jho Low memilih dana fidusiari untuk memberikan ilusi optik yang lebih baik kepada pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia dan di tempat lain bahawa dana milik SRC, 1MDB serta Aabar telah dilaburkan dalam instrumen pelaburan bona fide seperti dana pelaburan,” katanya.

Menyentuh transaksi membabitkan 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL), satu lagi anak syarikat 1MDB, saksi itu berkata, Jho Low telah memberikan tekanan yang hebat kepada ramai pekerja BSI Bank untuk mempercepat proses pindahan wang daripada akaun BSI Bank ke akaun dana fidusiari sebelum ke akaun syarikat sasaran.

"Ketika memberi tekanan itu, staf BSI yang berkaitan dalam aliran dana sentiasa diberi peringatan bahawa kami sedang mengendali transaksi yang amat sensitif serta terikat dengan masa membabitkan dana kekayaan negara milik kerajaan Malaysia dan sikap berpuas hati tidak akan diterima oleh pelanggan (1MDB GIL),” katanya.

Kevin juga berkata, penglibatan beliau dalam kesemua transaksi ini telah dikurangkan secara beransur-ansur dari 2013 dengan pegawai bawahannya Yeo Jiawei memainkan peranan lebih menonjol bagi pihak BSIS.

"Saya telah dipinggir dan disingkirkan sepenuhnya daripada aliran maklumat itu kerana Jho Low mula bimbang dengan kebocoran maklumat yang mula muncul di media ketika itu. Saya telah disyaki menjadi dalang utama kebocoran kesemua maklumat ini dan oleh itu, telah dipinggirkan,” katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama