'Saya tak tahu boleh hidup lagi atau tidak'

Seorang kakitangan JKM menjerit meminta tolong selepas mendengar sebuah bot datang untuk menyelamatkan mereka selepas pacuan empat roda dinaiki air sehingga paras bumbung di jalan menuju PPS di Parit Haji Kamisan, Yong Peng, Batu Pahat, pada Rabu.
Seorang kakitangan JKM menjerit meminta tolong selepas mendengar sebuah bot datang untuk menyelamatkan mereka selepas pacuan empat roda dinaiki air sehingga paras bumbung di jalan menuju PPS di Parit Haji Kamisan, Yong Peng, Batu Pahat, pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang Pegawai dan dua kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda dinaiki terperangkap dalam banjir selama sejam ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Parit Haji Kamisan di Yong Peng dekat sini pada Rabu.

Pegawai JKM Batu Pahat, Siti Nadiah Mardi, 36, berkata, kejadian tersebut berlaku pada waktu tengah hari ketika dia bersama rakan sekerja, Herlinda Abd Majid, 42, dan pemandu lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan ke PPS terbabit.

"Ketika kami melalui jalan ini air naik dengan cepat dan arusnya semakin deras. Kenderaan kami terperangkap dilaluan kawasan kebun kelapa sawit yang menjadi antara laluan ke PPS berkenaan.

"Pada awalnya air naik hanya pada paras sederhana namun semakin tinggi hingga kepada paras berbahaya iaitu melebihi satu meter. Keadaan itu juga mengakibatkan pacuan empat roda jenis Ford Everest dinaiki kami hanyut ke tepi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, air terus naik sehingga memaksa mereka naik ke atas bonet sebelum duduk di atas bumbung pacuan empat roda berkenaan.

Katanya, lebih sejam mereka berdepan situasi mencemaskan itu dan ketiga-tiganya sudah bersedia untuk memanjat pokok kelapa sawit sekiranya air terus naik.

"Saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak. Air sudah mencecah bumbung kereta dan kami ketika itu sudah bersiap sedia untuk berpaut pada pokok kelapa sawit. Kami menghubungi pelbagai agensi dan rakan untuk meminta bantuan sebelum keadaan bertambah buruk," jelasnya.

Siti Nadiah berkata, selepas sejam terperangkap mereka terdengar bunyi bot dan ketika itu masing-masing menjerit meminta bantuan sambil melambai-lambaikan tangan.

"Hanya tuhan sahaja mengetahui perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami," katanya.

Siti Nadiah berkata, dalam kejadian berkenaan kesemua barangan yang dibawa dalam kenderaan termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran sudah rosak.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

"Ini adalah kejadian kali pertama seumur hidup dan kami tidak akan lupakan dan akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Kami berterima kasih kepada keluarga, kenalan dan rakan sekerja yang mendoakan keselamatan kami.

"Kebiasaannya kami membantu mangsa namun pada kali ini kami sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam," katanya.