Amaran majikan hentikan pekerja tempatan

Sivakumar - Foto Bernama
Sivakumar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kelulusan kuota untuk majikan menggaji pekerja asing menerusi Pelan Kelonggaran Pengajian Pekerja Asing (PKPPA) akan dibatalkan sekiranya didapati melakukan pemberhentian terhadap pekerja tempatan, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Beliau menerusi kenyataan hari ini berkata, tindakan majikan atau syarikat yang memberhentikan pekerja tempatan dan menggantikan mereka dengan pekerja asing adalah bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.

Mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap satu kesalahan, katanya.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri melaksanakan PKPPA bermula 17 Jan sehingga 31 Mac ini untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal iaitu perladangan, perkilangan,pembinaan,pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Sivakumar berkata, KSM telah menerima banyak aduan mengenai syarikat tempatan yang telah mendapat kelulusan kuota pekerja asing dan kemudiannya mengambil tindakan pemberhentian terhadap pekerja tempatan dengan aduan terbaharu melibatkan pemberhentian 102 pekerja tempatan di Pulau Pinang.

"Saya ingin memberi peringatan tegas kepada para majikan dan syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi menggantikan pekerja tempatan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, majikan perlu memberi keutamaan setiap kekosongan pekerjaan yang ada di dalam negara ini kepada rakyat dan pekerja tempatan. - Bernama