Pas tak tetap kuota, pilih calon boleh menang PRN

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat
A
A
A

KOTA BHARU - Pas tidak menetapkan kuota calon untuk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya memilih mereka yang boleh memenangi hati pengundi.

Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah melakukan kajian di peringkat akar umbi untuk memilih calon 'winnable'.

Menurutnya, semua calon yang dipilih untuk PRN yang dijangka pada Julai depan sudah dipersetujui Majlis Syura Ulamak.

"Kita yakin akan menang 45/0 berdasarkan persiapan lebih awal ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Program Male Gegey Gegok Anok Mudo Kelate di sini pada Rabu.

Selain itu, Wan Roslan memberitahu, gelombang anak muda kini dilihat semakin bersemangat dan banyak berfikir mengenai pelan strategi kemenangan PN.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor berkata, ramai yang mahu menjadi calon tetapi pilihan diutamakan kepada mereka berkaliber dan beberapa tokoh muda.

"Anak muda kini boleh membawa perubahan besar berdasarkan PRU15 dan kita percaya mereka juga antara faktor penting membawa kemenangan pada PRN nanti," katanya


Lima artis popular meriahkan Gegey Gegok Anok Mudo Kelate 2023

Lebih 16,000 penonton dijangka menyaksikan Program Male Gegey Gegok Anok Mudo Kelate 2023 pada 10 dan 11 Mac depan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV.

Program yang menampilkan lima artis popular negara termasuk Khai Bahar, Zara Zya dan Wani Hasrita itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara yang melibatkan golongan muda.

Wan Roslan berkata, antara program yang dijadualkan berlangsung ialah pertunjukan Auto Show Vaganza, derma darah, derma darah perdana, Girl’s Fun Run, forum, dan Ladies Night.

Menurut beliau, program berkenaan menunjukkan keterbukaan kerajaan Kelantan yang tidak pernah menolak acara sukan dan hiburan dengan mematuhi syariat Islam.

"Kita juga menerima artis dalam menyampaikan dakwah untuk membangun bersama Islam," katanya.

Selain itu katanya, lebih 30 artis tempatan turut membuat persembahan termasuk dalam acara kemuncak Gema Dikir Anok Mudo Kelate.